Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes GISBH: 'Kerajaan bukan selamat anak kami, tapi rampas' - ibu bapa

Ketua Penerangan Bersatu Wilayah Persekutuan Tun Faisal Ismail Aziz tampil sebagai jurucakap sekumpulan 96 ibu bapa yang ditahan dalam operasi terhadap Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH) baru-baru ini.

Tun Faisal pada sidang media hari ini bersama beberapa ibu bapa mewakili kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai "Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami" (GPAAK) menuntut supaya kerajaan memulangkan anak-anak yang kini ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Tun Faisal mendakwa tindakan polis menahan mereka dalam Op Global tidak sah kerana 96 ibu bapa ini tiada sebarang kaitan dengan GISBH.

Jurucakap kumpulan itu menggesa kerajaan perlu segera memulangkan sebanyak 174 anak-anak yang didakwa mereka "dirampas dan disembunyikan" secara tidak sah dari segi undang-undang.

"Kami nak tegaskan di sini bahawa penahanan 96 ibu bapa adakah tidak mengikut undang-undang. Bukan semua ibu bapa ini ahli GISBH. Dan bukan semua anak-anaka ditahan di rumah amal. Ada yang ditahan di rumah sendiri.

"Kami nak kerajaan segera memulangkan anak-anak ini. Anak-anak mereka bukan 'diselamatkan', tapi 'dirampas' oleh penguat kuasa," dakwanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, peguam kepada ibu bapa Nizam Bashir dan Rizal Abdullah.

Mengulas lanjut, Faisal mendakwa sebahagian besar daripada 96 ibu bapa yang ditahan oleh polis bukan ahli GISBH.

Tenaga pengajar, staf dan relawan

"GPAAK mendapati 80 peratus daripada ibu bapa ini bukan ahli GISBH dan hanya lebih kurang 20 peratus ahli GISBH.

"Daripadanya 49 tiada kaitan dengan GISBH. Dalam kalangan 51 peratus yang mempunyai kaitan dengan GISBH pula sejumlah besar adalah staf syarikat persendirian atau program bimbingan GISBH.

“Yang lain adalah tenaga pengajar sekolah, staf GISBH, penjaga pusat penjagaan dan sukarelawan GISBH.

"Atas alasan apakah mereka yang bukan ahli GISBH dan yang tiada kaitan dengan GISBH ini ditangkap, ditahan dan dihumban ke dalam lokap selama berhari-hari?

"Bukankah ini kes salah tangkapan? Apa kaitan mereka dengan sebarang dakwaan ajaran sesat?" soal Faisal.

Tambahnya, kesemua 96 ibu bapa ini mempunyai sijil perkahwinan yang sah dan mendaftarkan kelahiran anak-anaknya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Salah seorang bapa bernama Utbah Faroha, 30 berasal dari Ampang berkata anaknya berusia tujuh tahun kini berada di pusat penjagaan JKM.

"Anak saya ditahan di asrama di Bukit Beruntung milik GISBH. Bila saya pergi ke balai polis, mereka minta saya tunggu seminggu untuk panggilan JKM.

"Selepas seminggu tak ade panggilan daripada JKM dan saya pergi ke JKM. Di sana staff JKM marah saya kerana tidak dapat hubungi saya kerana tiada maklumat.

"Bila saya beritahu, bahawa saya telah memberi maklumat saya di balai polis, mereka kata JKM tidak kena mengena dengan polis.

‘Ditendang macam bola’

"Kemudian, JKM minta saya tunggu seminggu lagi untuk terima panggilan daripada mereka. Tapi, takde panggilan, saya pergi ke JKM. Mereka sekarang bagi alasan kes masih dalam siasatan.

"Mereka tendang kami macam bola," dakwanya.

Dia turut menafikan pengurusan GISBH mengamalkan perkahwinan paksa untuk ahli-ahlinya.

"Tidak betul. Saya diberi pilihan. Bila saya setuju, baru saya mendaftar perkahwinan. Semua dokumen lengkap. Tiada paksaan," dakwanya.

Seorang lagi ibu Mashitha Mat Isa, 31 sebak ketika diminta berkongsi pengalaman berjumpa anak yang kini berada di hospital Selayang.

"Semalam saya terima panggilan daripada JKM beritahu bahawa anak saya berusia 18 bulan berada di Hospital Selayang kerana influenza B.

"Setelah saya merayu untuk berjumpa anak saya, mereka memberi tempoh sejam sahaja. Ketika, saya minta untuk terus berada bersama anak saya, JKM menolak kerana kes ini di bawah mahkamah," katanya.

Masitha berkata dia sukarelawan selama tiga bulan di salah sebuah rumah amal milik GISBH di Sepang.

Dia ditahan bersama lima anaknya pada 1 Sept sebelum dia dibebaskan dan anak-anaknya masih di bawah jagaan JKM.

Katanya, dia tidak pernah meminggirkan atau mengabaikan semua lima anaknya itu kerana mereka sentiasa bersamanya di pusat penjagaan kanak-kanak berkenaan.

Seorang lagi ibu bernama Nur Akmal mendakwa dia dan anak-anaknya ditahan di rumah sendiri di Country Home, Rawang.

Katanya, dia bekas kakitangan GISBH yang telah berhenti enam tahun lepas.

"Salah seorang anak saya berusia 17 tahun adalah OKU yang terlantar. Saya masih tidak tahu anak saya berada di mana. Kesemuanya empat anak saya ditahan," dakwanya.

Sementara itu, Nizam dan Rizal menggesa kerajaan menjelaskan dakwaan beberapa ibu bapa bawah mereka dipaksa menandatangani Borang 2 (Borang pemberitahuan mengenai pengambilan kanak-kanak ke dalam jagaan sementara oleh pelindung) daripada JKM.

"Kami mendapati, mereka ini cuma perlu menandatangani borang itu, sementara pegawai JKM menanda kesalahan yang telah pun disediakan dala borang itu.

"Kami tak pernah lihat borang sebegitu di mana kesalahan-kesalahan telah pun dicetak siap-siap, dan pegawai JKM memaksa ibu bapa ini menandatangani borang itu tanpa membaca kandungan sebelum pegawai itu menanda kesalahan bagi pihak ibu atau bapa.

"Borang ini yang digunakan di mahkamah untuk mendapatkan reman terhadap ibu bapa ini," kata mereka.

Terdahulu, Tun Faisal menyenaraikan 12 tuntutan kumpulan ibu bapa berkenaan kepada kerajaan.

Antaranya, kerajaan segera memulangkan anak-anak kepada ibu bapa dan kerajaan perlu mengambi tindakan terhadap kakitangan kerajaan menyalahgunakan kuasa dalam kes ini.

GPAAK juga menuntut Ketua Polis Negara Razarudin Husain, Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Bin Ahmad dan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainu Abidin segera meletak jawatan kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab.

Mereka juga meminta Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail meminta maaf kerana didakwa gagal dalam mengendalikan kes ini.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas pihak berkenaan mengenai dakwaan dan tuntutan yang disampaikan Tun Faisal bagi pihak kumpulan ibu bapa ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS