Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM kenang pernah jadi mangsa 'kelewatan undang-undang'

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengimbas kembali pengalamannya sebagai mangsa ketidakadilan semasa berbicara mengenai keperluan reformasi undang-undang.

Menurutnya, ketidakadilan yang dialami termasuk menghadapi "kelewatan undang-undang".

"Dalam bab pengalaman, saya telah mengalami banyak situasi apabila saya berdepan ‘tindakan biadap’ daripada pihak berkuasa, ‘kelewatan undang-undang’ dan penyalahgunaan kuasa yang teruk.

"Komplot ini telah membawa saya dari dewan kuasa ke lorong penjara!

"Saya percaya saya telah mengumpulkan cukup ‘jam kredit’ untuk diterima sebagai ahli kehormat Badan Peguam juga," katanya berseloroh ketika berucap merasmikan Persidangan LawAsia di Kuala Lumpur hari ini.

Ucapan ini di tengah kritikan berterusan terhadap Anwar dan kerajaannya mengenai kelewatan keadilan dalam kes serangan terhadap Ong Ing Keong, seorang pemandu e-hailing kurang upaya.

Ong, 48, didakwa ditumbuk di muka oleh anggota polis pengiring semasa dia berada dalam keretanya menunggu penumpang di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 28 Mei.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Ibrahim Sultan Ismail sendiri telah menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh terhadap insiden melibatkan polis pengiringnya itu.

Walaupun insiden berkenaan dirakam kamera, tiada perkembangan mengenai pertuduhan terhadap penyerang tersebut.

Anwar, yang juga pernah menjadi mangsa keganasan polis sebelum ini dikritik apabila mengulas tentang kelewatan dalam mendakwa penyerang Ong, berkata sesetengah kes mengambil masa yang panjang.

Sementara itu, dalam gesaan untuk reformasi kehakiman dan undang-undang hari ini, Anwar berkata perkara ini perlu tercermin apabila negara terus maju dengan perubahan masa.

"Kita tidak boleh menjadi tebusan kepada pandangan dan tuntutan golongan elit atau tunduk kepada desakan kumpulan pendesak yang berkhidmat untuk kepentingan orang kaya dan berkuasa.

"Seperti pelaut mahir yang menavigasi perairan yang belum diterokai, kita mesti membawa undang-undang kita melalui arus inovasi yang pantas sambil memastikan kapal keadilan kekal stabil," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS