Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kanak-kanak hilang ketika ambil makanan ditemukan selamat

Seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang di sebuah flat di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, 8 Okt lalu ditemui dalam keadaan selamat, kira-kira 2.30 petang semalam. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kanak-kanak berusia 12 tahun itu dilihat sedang berjalan kaki sebelum menaiki sebuah kereta berwarna hitam, dipercayai diculik dari penjagaan yang sah. 

Dia berkata susulan itu, sepasukan polis cawangan D8, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan, telah menahan enam individu warga tempatan di Segambut Dalam, Setia Alam dan Pandamaran kira-kira lima petang semalam. 

“Menerusi penahanan itu, polis juga merampas sebuah kenderaan berwarna hitam dipercayai digunakan semasa kejadian. 

“Semakan terhadap kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia antara 13 hingga 24 tahun tersebut mendapati seorang daripada mereka mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Katanya, kes tersebut telah diklasifikasikan semula kepada Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda. 

“Permohonan reman ke atas kesemua suspek akan dipohon di hadapan Majistret Mahkamah Klang pada hari ini,” katanya. 

Sebelum ini, media melaporkan kanak-kanak itu dilaporkan hilang, selepas turun untuk mengambil makanan daripada kereta yang diparkir di bawah kediamannya di sebuah flat di Bandar Bukit Tinggi 1 di Klang. Siasatan awal mendapati dia disuruh ibunya, untuk berbuat sedemikian sekitar 2.20 petang 8 Okt lalu.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS