Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM serbu rumah disyaki simpan wang rasuah ahli politik berpengaruh
2

SPRM menyerbu sebuah unit pangsapuri di Kuala Lumpur malam tadi yang disyaki digunakan oleh seorang ahli politik berpengaruh sebagai tempat menyimpan wang rasuah.

Menurut sumber dalaman SPRM, serbuan itu dibuat pada jam 10 malam sebagai sebahagian daripada siasatan dakwaan rasuah oleh ahli politik itu.

Lokasi pangsapuri itu didedahkan oleh seorang lagi suspek yang ditahan bagi membantu siasatan, kata sumber itu.

Seorang suspek yang ditahan telah mendedahkan kewujudan safehouse yang bertujuan menyimpan wang hasil rasuah milik seorang ahli politik berpengaruh. 

“Hasil penggeledahan telah menemui sejumlah wang mata wang Singapura berjumlah SGD1,529,000 atau kira-kira RM5 juta. Wang ini disimpan bertujuan untuk kegunaan ahli politik berkenaan bagi aktiviti politiknya

“Wang ini telah disita oleh SPRM bagi siasatan lanjut,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut beberapa sumber, siasatan awal menunjukkan unit itu disewa oleh seorang ahli perniagaan untuk menyimpan wang bagi pihak ahli politik itu.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bagi meminta pengesahan dan maklum balas berkenaan perkara ini.

Difahamkan SPRM juga menyiasat ahli politik berkenaan berkaitan skandal rasuah berjuta-juta ringgit yang didakwa berhubung konsesi perlombongan pasir di bawah anak syarikat cabang pelaburan negeri itu.

Semalam, SPRM menahan dua suspek skandal konsesi lombong ini, seorang ahli perniagaan dan seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI).

Malaysiakini dimaklumkan seorang daripada suspek ditahan reman sehingga Selasa ini manakala seorang lagi dibebaskan atas perintah mahkamah kerana masalah kesihatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS