Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
GST hanya akan dilaksana jika ambang gaji minimum naik ke RM3,000 - PM

Kerajaan hanya akan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya ambang gaji minimum meningkat kepada RM3,000-RM4,000, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketika ini, gaji bulanan minimum di Malaysia adalah pada RM1,500.

Anwar yang mengakui bahawa sistem cukai itu cekap dan telus berkata GST juga akan membantu mengembangkan dana kerajaan dengan kutipan hasil yang lebih tinggi.

Namun begitu, dia percaya golongan miskin tidak seharusnya dibebani dengan sistem cukai sedemikian.

“Saya bersetuju, GST adalah sistem cukai yang paling telus dan cekap…tetapi pandangan saya adalah, beri sedikit masa, beberapa tahun, (kita mesti) pastikan ambang gaji meningkat kepada minimum RM3,000-RM4,000, kemudian barulah kita boleh selaraskan dasar,” kata Anwar.

Dia berkata demikian pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-78 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pelaksanaan GST telah menjadi isu berterusan selama beberapa dekad, malahan semasa dia menjadi Menteri Kewangan pada 1990-an.

Dia tidak bersetuju pada masa itu kerana merasakan gejala rasuah yang membabitkan berbilion ringgit, antara lainnya, perlu ditangani terlebih dahulu.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS