Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai AS: Rusia, China halang kenyataan Asean isu Laut China Selatan
Diterbitkan:  Oct 13, 2024 2:25 PM
Dikemaskini: 6:25 AM

Rusia dan China didakwa menyekat kenyataan bersama untuk Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang dirangka negara-negara Asia Tenggara, yang bertumpu kepada bantahan ke atas bahasa yang digunakan terkait Laut China Selatan, menurut seorang pegawai Amerika Syarikat (AS).

Menurut Reuters, pegawai itu berkata rangka kenyataan itu dibawa ke mesyuarat 18 negara AES di Laos pada Khamis lalu.

Pegawai yang enggan dinamakan itu berkata Asean membentangkan rangka kenyataan itu sebagai sesuatu yang muktamad dan hanya boleh diterima atau ditolak, bukan dipinda.

AS, Jepun, Australia, Korea Selatan dan India menyatakan mereka boleh menyokong kenyataan itu.

Bagaimanapun, pegawai itu berkata: Rusia dan China berkata mereka tidak boleh dan tidak akan teruskan dengan kenyataan”.

Dalam sidang media di Vientiane pada Jumaat lalu, Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov berkata pengisytiharan akhir itu tidak diterima pakai kerana "cubaan berterusan oleh AS, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand untuk menjadikannya sebagai  kenyataan”.

Kedutaan AS di China masih belum memberi maklum balas mengenai perkara itu.

Isu pertikaian

Pegawai AS mendakwa ada beberapa isu yang menjadi pertikaian, namun isu utama adalah bagaimana kenyataan itu merujuk kepada Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa PBB (Unclos), yang pergi lebih jauh berbanding kenyataan yang dikeluarkan semasa sidang kemuncak EAS pada 2023.

Bagaimanapun, pegawai itu berkata: "Pastinya tiada kata-kata yang menyentuh tentang perincian mana-mana pertikaian, tiada yang memihat kepada mana-mana pihak yang menuntut lebih daripada pihak yang lain”.

Perlu dinyatakan yang China menuntut hampir keseluruhan kawasan Laut China Selatan dan telah meningkatkan tekanan ke atas pihak saingan, termasuk beberapa negara Asean, terutam Filipina.

Asean telah menghabiskan masa bertahun-tahun berunding soal kod tatakelakuan dengan Beijing, dengan ada negara anggota menegaskan ia seharusnya berdasarkan Unclos.

Walaupun China berkata ia menyokong kod itu, negara itu tidak mengiktiraf keputusan timabng tara pada 2016 yang menyatakan tuntutannya ke atas sebahagian besar kawasan Laut China Selatan tiada asas mengikut Unclos. China adalah antara negara yang menandatangani Unclos.

Menurut draf yang dilihat oleh Reuters, kenyataan EAS yang dicadangkan itu mengandungi sub klausa yang telah ditambah pada kenyataan yang diluluskan pada 2023, yang tidak dipersetujui.

Ia membangkitkan resolusi PBB pada 2023, berkenaan peranan Unclos yang "menetapkan rangka kerja undang-undang dalam semua aktiviti di lautan dan laut yang dijalankan”.

Satu lagi sub klausa yang tidak dipersetujui menyatakan persekitaran antarabangsa, termasuk "di Laut China Selatan, Semenanjung Korea, Myanmar, Ukraine dan Timur Tengah…memberikan cabaran serantau".

Perdana Menteri China Li Qiang memberitahu sidang kemuncak itu bahawa Beijing komited kepada Unclos dan berusaha untuk memuktamadkan kod tatakelakuan lebih awal, dan pada masa sama menegaskan tuntutannya mempunyai asas sejarah dan undang-undang yang kukuh. 

"Negara-negara berkaitan di luar rantau ini harus menghormati dan menyokong usaha bersama China dan negara-negara serantau untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, dan benar-benar memainkan peranan yang membina untuk keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya seperti dipetik.

Semalam, Bernama melaporkan Asean berjaya memujuk China untuk menggunakan saluran diplomatik bagi menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan, seterusnya mengelak sebarang konfrontasi ketenteraan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS