Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menutup mana-mana sekolah agama swasta di Selangor yang didapati terlibat dalam kes penderaan, gangguan seksual atau tindakan yang bertentangan dengan prinsip asas Islam.
Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad berkata tindakan tersebut akan diambil selaras dengan Seksyen 25 Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 (Pindaan 2001) yang membolehkan penutupan sekolah terlibat, selain penamatan pendaftaran di bawah Seksyen 15 enakmen yang sama.
Dia berkata peringatan berkenaan dikeluarkan susulan penemuan empat pelajar di sebuah tahfiz sekitar ibu kota yang mengalami kecederaan fizikal pada tubuh dipercayai akibat penderaan, selain disyaki menjadi mangsa amang seksual.
"Tidak boleh sama sekali, sistem pendidikan dan kurikulum Islam yang dilaksanakan di sekolah merosakkan prinsip manusiawi dan ihsan atas alasan membentuk sahsiah Islam kepada para pelajar.
"Guru sebagai wahana menyampaikan ilmu perlu memanfaatkan ruang pengajaran dan pembelajaran sebagai ruang bagi pelajar menjadi insan yang ikhlas dalam menerima ilmu, bersangka baik dan menghormati para guru, bukannya interaksi yang melahirkan ketakutan dan mengambil kesempatan daripada para pelajar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shahzihan berkata Seksyen 8 enakmen berkenaan juga memperuntukkan sekolah agama swasta boleh didakwa dan juga mendakwa pihak lain.
"Selain kes jenayah, ibu bapa dan penjaga boleh mendakwa serta menuntut hak anak-anak mereka jika mereka tidak diperlakukan dengan selayaknya, supaya perkara tersebut dapat dibawa ke muka pengadilan," katanya.
Dia turut mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memerhati perkembangan anak-anak mereka terutamanya melalui perubahan sikap dan tingkah laku, supaya sebarang masalah dapat dikesan di peringkat awal dan tidak menjejaskan masa depan anak-anak.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata empat pelajar sebuah pusat tahfiz di Datuk Keramat, Kuala Lumpur, yang ditemukan selamat di Bangi dua hari lalu setelah dilaporkan hilang sejak Selasa, didapati mempunyai kesan kecederaan yang disyaki akibat penderaan dan kesalahan seksual.
Rusdi berkata maklumat ini diperoleh setelah pemeriksaan dilakukan di Hospital Kuala Lumpur dan berdasarkan keterangan awal, pelajar lelaki berusia antara 13 hingga 14 tahun itu mendakwa mereka melarikan diri kerana tidak tahan dengan keadaan di pusat tahfiz tersebut.
-Bernama