Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Nahas pelajar UiTM Dungun: Reman pemandu disambung 2 hari

Reman terhadap pemandu wanita yang dipercayai merempuh dua motosikal sehingga mengorbankan tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dan mencederakan seorang lagi yang lain disambung dua hari bermula esok.

Perintah reman hingga Selasa itu dikeluarkan Majistret Nur Amira Fatihah Osman selepas membenarkan permohonan polis di Mahkamah Majistret Dungun hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, wanita berusia 49 tahun yang dipercayai mempunyai penyakit mental itu direman empat hari bermula Khamis lepas setelah ditahan di lokasi kejadian di Jalan Pantai berhampiran universiti berkenaan pada Rabu. 

Dalam kejadian pada 7.35 malam itu, wanita berkenaan yang memandu kenderaan SUV merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar yang dalam perjalanan pulang ke kampus. 

Tiga yang maut ialah dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan.

Seorang lagi mangsa yang cedera juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan ialah Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, yang kini dirawat di Hospital Dungun dan dilaporkan semakin pulih. 

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS