Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sungai lepasi paras bahaya, penduduk Sik diingatkan waspada

Penduduk di daerah Sik, khususnya yang tinggal berhampiran kawasan sungai, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada berikutan paras air Sungai Chepir kini telah melepasi paras bahaya.

Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Sik  Lt (Pertahanan Awam) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata paras amaran bagi sungai tersebut adalah empat meter, namun paras air meningkat akibat hujan lebat berterusan dari enam petang semalam hingga enam pagi tadi.

"Paras air Sungai Chepir telah naik melebihi lima meter, menyebabkan air melimpah ke tebing dan memasuki rumah penduduk yang berada berhampiran sungai.

"Terdapat kira-kira 50 hingga 70 buah rumah di kawasan berdekatan sungai dan saya berharap agar mereka sentiasa berwaspada serta segera berpindah jika diarahkan," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Haisul Aishah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik menerima laporan banjir pada 7.56 malam tadi, yang melibatkan hampir 10 kampung di Mukim Sik dan Mukim Sok.

"Dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan pada pukul 12.48 malam tadi, iaitu di Balai Islam Kampung Tanjung Belit dan surau Kampung Belimbing. Masing-masing menempatkan seramai 30 keluarga dan 20 keluarga.

"APM Sik turut membantu memindahkan lapan keluarga membabitkan empat keluarga di Kampung Jerai, dua di Kampung Seberang Pekan Sik dan dua di Kampung Charuk Padang, yang terperangkap selepas rumah mereka dinaiki air," katanya.

Katanya lagi, seramai 37 mangsa banjir yang terperangkap berjaya diselamatkan malam tadi, termasuk seorang wanita mengandung dan empat warga emas.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS