Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tahan bekas eksekutif MBI, ahli perniagaan kes rasuah lombong pasir

Seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) adalah antara dua individu yang ditahan SPRM tiga hari lalu, dalam siasatan skandal rasuah berjuta-juta ringgit yang didakwa berhubung konsesi perlombongan pasir di bawah anak syarikat cabang pelaburan negeri itu.

Suspek kedua merupakan seorang ahli perniagaan.

Kedua-dua suspek didakwa ada kaitan dengan seorang pemimpin pembangkang terkenal yang pernah mempunyai pengaruh politik di Selangor.

“Bekas eksekutif itu disyaki menerima rasuah jutaan ringgit daripada syarikat yang memperoleh konsesi perlombongan pasir beberapa tahun lalu.

“Menurut maklumat yang SPRM kumpul setakat ini, suspek kedua iaitu ahli perniagaan telah (didakwa) bertindak sebagai orang tengah untuk mengutip suapan bagi pihak suspek pertama.

“Ada juga banyak pihak lain yang terlibat yang kita dah panggil semua, namun kedua-dua mereka dianggap sebagai suspek utama kami,” kata sumber.

Malaysiakini dimaklumkan seorang daripada suspek ditahan reman sehingga Selasa ini, manakala seorang lagi dibebaskan atas perintah mahkamah kerana masalah kesihatan.

Menurut sumber yang rapat dengan siasatan, SPRM juga telah menahan dua individu yang dikaitkan dengan syarikat perlombongan pasir, tetapi mereka telah dibebaskan selepas disoal siasat.

Skandal itu didakwa bermula apabila syarikat berkenaan memohon konsesi daripada MBI lebih lima tahun lalu, menurut seorang pegawai SPRM yang tidak mahu namanya disiarkan.

Bagaimanapun, rasuah itu dikatakan berterusan sejak syarikat itu memperoleh konsesi MBI.

Suspek kedua juga didakwa mendapatkan peratusan saham dalam syarikat perlombongan pasir itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM.

Setakat hari ini, SPRM telah membekukan kira-kira 15 akaun bank milik beberapa individu dan syarikat, termasuk yang dipercayai penyiasat digunakan untuk menyalurkan rasuah.

Menurut sumber, SPRM juga sedang menyiasat sama ada ahli politik terkemuka itu mempunyai sebarang penglibatan dalam dakwaan rasuah itu.

"Kita akan lihat jika ada keperluan untuk merekodkan kenyataannya. Setakat ini siasatan masih diteruskan," kata sumber itu ketika ditanya sama ada SPRM bercadang untuk memanggil ahli politik berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

“Saya sahkan ada dua orang ditangkap yang (didakwa) terlibat dalam perbuatan rasuah berhubung mendapat konsesi pasir daripada MBI,” katanya, namun enggan mengulas lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS