Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU Mufti Wilayah hampir sama dengan enakmen di Sabah

Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan tidak akan menjadikan Malaysia sebagai negara Islam seperti mana dakwaan 14 kumpulan yang berpangkalan di Sarawak dan Sabah.

Malah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata RUU tersebut mempunyai persamaan dengan Enakmen Fatwa Negeri Sabah yang diluluskan sejak 20 tahun lalu.

“Ini perkara penting... saya dimaklumkan bahawa hampir semua fasal dan perkara yang terkandung RUU Mufti Wilayah Persekutuan ini hampir sama dengan Enakmen Fatwa Sabah yang mengandungi fasal dan perkara mengenai mufti Sabah.

“Enakmen tersebut telah diluluskan Sabah pada tahun 2004, maksudnya Sabah mempunyai undang-undang ini sejak 20 tahun lalu.

“Sabah tak berubah dari segi amalan atau kebebasan beragama bagi yang bukan Islam," katanya.

Jurucakap kerajaan perpaduan itu berkata, sejak enakmen tersebut diluluskan di negeri terbabit, semua acara, pesta dan keraikan setempat - seperti Tadau Kemaamatan - masih dijalankan.

Bahkan, kata Fahmi, dia sendiri menghadiri pesta tersebut pada tahun ini.

“Acara seperti Unduk Ngadau masih berjalan... tak ada masalah.

"Justeru jadi bagi mereka yang mengeluarkan tuduhan seperti ini, saya sarankan teliti balik sejarah Sabah. Dah (ada) buat 20 tahun sudah dan tiada apa-apa kesan yang negatif,” katanya kepada media selepas menghadiri satu program di Kerinchi, Kuala Lumpur hari ini.

Akan lebih tertib

Semalam Malaysiakini melaporkan kumpulan terbabit menyuarakan rasa bimbang terhadap RUU Mufti Wilayah Persekutuan kerana didakwa kononnya akan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam dalam sekelip mata.

Menurut Borneo Post Online, 14 kumpulan yang berpangkalan di Sarawak dan Sabah itu juga mendakwa RUU berkenaan melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta merupakan serangan secara langsung terhadap sistem sekular di negara ini.

Fahmi berkata dia sudah mendapat pandangan daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung perkara itu.

Jelasnya dia dimaklumkan kenapa RUU Mufti ini digubal dan dibawa ke parlimen antara lain untuk memastikan dari segi punca kuasa bagi mufti itu jelas.

Apabila dibawa ke parlimen, kata Fahmi, itu bermaksud akan ada kebertanggungjawaban kepada jawatan mufti di peringkat Wilayah Persekutuan.

“Pada masa sama tidak ada peningkatan kuasa kepada mufti, ia sama seperti yang ada sekarang.

"Cuma bezanya kita nak membawa dan jadikan ia satu akta parlimen supaya sangat jelas bidang kuasanya dan tidak ada dakwaan serta pertikaian tentang punca kuasa bagi tindakan-tindakan mufti," katanya.

Mengakui membaca laporan media berkenaan kebimbangan NGO berkenaan, Fahmi menjelaskan takrif yang mereka gunakan membawa konotasi yang negatif dan seolah-olah Malaysia akan menjadi seperti sesetengah negara di Timur Tengah.

Tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, semua pihak perlu celik undang-undang iaitu Islam adalah untuk amalan Muslim dan ia bukan sahaja perlu dihormati tetapi teratur dari aspek perundangan.

“Dengan membawa RUU Mufti Wilayah Persekutuan ini ke parlimen jawatan mufti itu akan lebih mempunyai ketertiban dari segi perlembagaan dan undang-undang dalam negara kita,” jelasnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS