Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar kibar bendera China di P Pinang bukan rakyat Malaysia

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menegaskan gambar yang tular memaparkan sekumpulan pelajar sekolah swasta mengibarkan bendera China di Pulau Pinang sebenarnya bukan warganegara Malaysia.

Sebaliknya kata jurucakap kerajaan itu lagi, mereka merupakan pelajar-pelajar yang semenangnya berasal dari China namun bersekolah di sekolah persendirian terbabit.

Justeru, kata Fahmi, dakwaan kononnya ia melibatkan rakyat negara ini merupakan suatu tohmahan bagi membangkitkan kemarahan orang ramai.

“Saya dapati ada beberapa individu mengeluarkan fitnah jahat yang cuba menggangu gugat ketenteraman awam.

"Mengenai gambar yang viral (tular) kononnya ada sekumpulan pelajar Malaysia mengibarkan bendera China, saya telah mendapat penjelasan dan pengesahan (mengenainya).

"Di Chung Ling Private High School ada lebih kurang 33 pelajar sekolah swasta ini yang berasal dari China dan mereka inilah yang mengibar bendera (China) itu," katanya.

Tambah Fahmi, selain imej yang ditularkan pihak tertentu itu, ada juga gambar lain yang menunjukkan pelajar-pelajar China dan Malaysia di sekolah terbabit yang turut mengibarkan Jalur Gemilang.

“Jadi saya telah minta SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) menyiasat mereka yang sengaja cuba mengadu-domba dalam kalangan masyarakat dengan menyebarkan berita palsu.

"Saya juga minta PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengambil tindakan tegas kerana mereka cuba menimbulkan kegusaran seolah-olah kerajaan membenarkan perkara seperti ini berlaku,” katanya kepada media selepas menghadiri satu program di Kerinchi, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu kehadiran 165 kadet kapal Tentera Laut Republik Rakyat China (RRC) di Air Itam, Pulau Pinang baru-baru ini menimbulkan reaksi pelbagai pihak.

Ia semakin panas apabila tersebarnya gambar yang memaparkan pelajar sekolah berkenaan mengibarkan bendera China dengan memberi gambaran seolah-olah pelajar warga Malaysia lebih menyanjungi negara asing.

Menyifatkan tuduhan itu sangat jahat, Fahmi berkata pihaknya sudah mengenal pasti individu yang menyebarkan imej berkenaan.

“Kita dah ada semua maklumatnya dan pihak berkuasa sedang dalam tindakan," katanya.

Fahmi menjelaskan, orang ramai sepatutnya menyelidik sesuatu maklumat yang diterima bagi mendapatkan kesahihan.

“Kita baru saja sambut Hari Malaysia dan Hari Kemerdekaan, tetapi mereka cuba untuk menanam bibit-bibit kebencian dan kegentaran dalam masyarakat.

“Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS