Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ribuan hadirin tidak menghiraukan cuaca panas untuk berarak di Kuala Lumpur tengah hari ini bagi menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin yang berdepan serangan regim Israel.

Hadirin himpunan anjuran PAS dan disokong beberapa kumpulan lain ini pada mulanya berkumpul di masjid As-Syakirin KLCC sebelum mula berarak ke arah Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, yang berjarak kira-kira dua kilometer.

Kebanyakannya mengibarkan bendera Palestin dengan laungan “Hidup, Hidup, Hidup Palestin” and “Hidup Hidup, Hidup Hamas” bergema sepanjang perarakan.

Turut bersama-sama mereka adalah ahli politik antaranya Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakarian, bekas ahli Parlimen Tian Chua dan Mukhriz Mahathir.

Himpunan hari ini diadakan sempena genap setahun perang yang tercetus sejak 7 Oktober lalu, yang setakat ini mencatatkan lebih 42,000 korban rakyat Palestin.

Kira-kira 100 anggota polis, dibantu sukarelawan Unit Amal PAS, dilihat memantau keadaan dan mengawal jalan raya sepanjang perarakan.

Antara kumpulan yang menyokong perhimpunan itu ialah parti politik Pejuang, gabungan kumpulan Islam bernama Gerakan Pembela Ummah (Ummah), dan NGO Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Jaringan Muslim Pulau Pinang (JMPP), dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan).

Selepas berarak selama kira-kira setengah jam, orang ramai berhenti kira-kira 500 meter dari Kedutaan AS.

Mereka kemudian berhimpun di lokasi itu untuk mendengar beberapa pemimpin memberi ucapan.

Ucapan penutupan perhimpunan itu disampaikan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang, yang berucap kepada orang ramai dengan hujan renyai mula turun, menyeru solidariti penuh dengan rakyat Palestin.

Dia berkata gerakan solidariti dari bumi Gaza ke bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur akan terus menakutkan Tel Aviv dan sekutunya demi pembebasan Palestin.

“Kepalanya di Gaza, Palestin, ekornya di Asia Tenggara. Panjangnya penentang-penentang (kekejaman Israel) ini,” katanya sambil orang ramai melaungkan “Takbir!”.

Protes itu diakhiri dengan doa penuh semangat oleh timbalan ketua sayap ulama PAS Zulkifli Ismail.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS