Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wabak mpox landa 15 negara Afrika sepanjang 2024 - WHO

WHO berkata rantau Afrika sedang menghadapi pelbagai “clade” virus itu yang lebih merumitkan usaha tindak balas.

"Clade Ia" sedang menular di Republik Afrika Tengah manakala "Clade Ib" dikesan di Uganda, Rwanda dan Burundi manakala "Clade IIb" dilaporkan di Nigeria dan Afrika Selatan yang menambah "lapisan kerumitan" dalam menguruskan wabak di negara-negara terjejas, menurut laporan itu.

WHO menekankan keperluan segera untuk meningkatkan kapasiti makmal, memperkukuh sistem pemantauan, dan memperbaiki penyelarasan rentas sempadan, serta menggesa negara-negara anggota untuk memberi tumpuan kepada pengesanan awal, melaksanakan kempen vaksinasi yang disasarkan, dan meningkatkan intervensi kesihatan awam, terutamanya di kawasan yang mengalami peningkatan kes.

Pada pertengahan Ogos, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) mengisytiharkan wabak mpox yang sedang berlangsung di Afrika sebagai kecemasan kesihatan awam bagi keselamatan benua. 

Tidak lama selepas itu, WHO juga mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa, mengaktifkan tahap amaran global tertinggi untuk mpox buat kali kedua dalam dua tahun.

Namun, buletin terbaru WHO tidak memasukkan Zambia yang mengumumkan pada Khamis bahawa ia telah mengesan kes pertama mpox di negara itu dalam kalangan warga Tanzania yang melawat Bandar Chitambo di Wilayah Tengah.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS