Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jumaat adalah hari pengadilan Allah!'
Diterbitkan:  Oct 12, 2024 1:28 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

Seorang lagi pemimpin kanan PAS membangkitkan isu pertukaran hari cuti hujung minggu Johor - daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad - yang berkuat kuasa mulai tahun depan.

Kali ini salah seorang tokoh ulama parti itu, Ahmad Dusuki Abd Rani.

Dalam satu hantaran ringkas di media sosialnya, Presiden Geng Ustaz Cintakan Ulama (Geng Ustaz) itu secara berkias menegaskan isu tersebut dengan memetik sebahagian daripada ayat ke-16 surah Ghafir.

Ayat itu bermaksud: "(Pada saat itu Allah berfirman): Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini? (Allah sendiri menjawab): Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaan-Nya segala-galanya!"

Menurut Ahmad Dusuki, semua orang memang akan dipaksa untuk "berpindah" dari dunia ini ke "negara akhirat" sebelum kemudian tiba di Padang Mahsyar.

Sebelum itu, katanya, setiap manusia akan berada untuk sementara di "negara barzakh" dan ketika itu mereka akan disoal oleh Allah dengan ayat ke-16 tadi.

"Hari itu pasti akan ada tengkingan Allah. Di mana raja-raja atau penguasa-peguasa dunia dahulu?

"Hari ini hanyalah Allah yang mempunyai kekuasaan. Dunia adalah sementara, akhirat adalah kekal abadi.

"Jumaat adalah hari pengadilan Allah!!!" tulisnya.

Berita sebagai lampiran

Pada 7 Okt lalu Tunku Mahkota Ismail mengumumkan cuti hujung minggu di negeri tersebut ditukar kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025.

Pemangku Sultan Johor itu memaklumkan cadangan pertukaran tersebut telah mendapat perkenan dan restu daripadaa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, serta menerima pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

Negeri itu melaksanakan cuti hujung minggu pada setiap Sabtu dan Ahad buat kali pertama pada tahun 1994 iaitu ketika Muhyiddin Yassin menjadi menteri besar.

Bagaimanapun pada 1 Jan 2014, Sultan Ibrahim "mengembalikan tradisi" cuti hujung minggu dengan menukanya kepada Jumaat dan Sabtu sebagai penghormatan kepada Jumaat sebagai penghulu segala hari.

Ia juga dianggap sebagai pengiktirafan terhadap Islam sebagai agama rasmi.

Dr Mohd Mazri Yahya

Sebelum ini Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mohd Mazri Yahya, dipetik sebagai berkata, parti itu menganggap pertukaran hari cuti hujung minggu oleh Johor sebagai mengikut kesan tinggalan penjajah.

Mohd Mazri yang juga ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, sepatutnya kerajaan negeri mengutamakan Jumaat sebagai hari cuti hujung minggu.

Untuk rekod selain PAS, rasa tidak senang dengan pertukaran itu turut dinyatakan Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim, yang menyatakan pandangannya sebelum Mohd Mazri.

Pada 11 Okt lalu Tunku Ismail memberikan reaksi kepada rasa tidak puas hati pihak terbabit dengan menasihatkan mereka agar berpindah ke negeri lain yang menjadikan Jumaat dan Sabtu sebagai cuti hujung minggu.

"Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu," titah baginda.

Untuk menegaskan pandangannya di media sosial, Ahmad Dusuki mengiringi hantaran tersebut dengan laporan berita Sinar Harian yang memetik kenyataan Tunku Ismail bertarikh 10 Okt.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS