Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengambilalihan MASWings dimuktamadkan tak lama lagi
Diterbitkan:  Oct 12, 2024 11:09 AM
Dikemaskini: 3:09 AM

Proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh kerajaan Sarawak akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg berkata proses pengambilalihan itu kini berada di peringkat rundingan lanjutan.

“Sarawak memerlukan khidmat penerbangan untuk berada di bawah kawalannya sendiri, bukan sekadar sebagai kemudahan membawa penumpang keluar dan masuk, tetapi lebih penting ia merupakan satu pelaburan untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Abang Johari berkata demikian semasa berucap di istiadat perbarisan dan rapat raksasa sempena sambutan hari lahir ke-78 Yang di-Pertua Negeri Sarawak Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Kuching hari ini.

Pada 23 Nov tahun lalu Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Jerip Susil berkata kerajaan negeri sedang menjalankan proses penilaian wajar terhadap MASWings sebagai persediaan untuk pengambilalihan.

Katanya rundingan juga sedang dijalankan dengan Malaysia Aviation Group (MAG) dan Khazanah Nasional Bhd untuk proses pembelian saham dalam MASWings.

Sementara itu, Abang Johari berkata kajian pembangunan lapangan terbang antarabangsa Kuching yang baru juga sedang dijalankan.

Menurutnya lapangan terbang baharu itu bakal diinspirasikan daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Doha di Qatar.

“Lapangan terbang ini juga nanti akan dilengkapi kemudahan canggih sejajar dengan sasaran untuk membangunkan lapangan terbang tersebut sebagai hab penerbangan serantau,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS