Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Belanjawan 2025: Usahawan harap tambah program, insentif, geran digital

Penganjuran lebih banyak kursus kemahiran digital di luar bandar selain mempelbagaikan pemberian insentif serta geran digital bagi membantu komuniti usahawan beralih kepada ekonomi digital, antara aspek yang diharapkan menjadi fokus kerajaan pada Belanjawan 2025. 

Pengasas Hab Usahawan Belia Pahang Nurliana Muhammad berkata buat masa ini, kursus dan bimbingan digital yang ditawarkan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan agensi lain agak terhad dengan persaingan yang sengit. 

Dia mengambil contoh Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) Program Desamall yang dilaksanakan KKDW dalam memperkasakan usahawan luar bandar mendigitalkan perniagaan yang menunjukkan impak positif namun kuotanya agak terhad.

“Saya difahamkan PPU menyasarkan untuk melatih sebanyak 1,200 usahawan setahun dan kalau boleh, bukan sahaja PPU tetapi kursus pendigitalan lain dari mana-mana kementerian dan agensi ditingkatkan kuota peserta untuk membolehkan lebih ramai lagi sertai.

“Usahawan luar bandar sedar mereka perlu menguasai kemahiran digital untuk menghadapi persaingan perniagaan yang semakin kompetitif tetapi untuk beralih kepada digital tanpa strategi dan kemahiran, mungkin tidak memberi impak berkesan,” katanya kepada Bernama. 

KKDW menerusi PPU memperuntukkan RM1.7 juta setahun (2023 dan 2024) dalam usaha membantu usahawan luar bandar memasarkan dan menambah baik kualiti produk sebagai persediaan memulakan perniagaan dalam talian, yang telah memberikan manfaat kepada 3,535 usahawan seluruh negara.

‘Sukar untuk orang jauh’

Dia berkata dalam usaha membawa usahawan luar bandar ke arah digital, beberapa kelompangan perlu ditambah baik antaranya memperluas lokasi latihan bagi memudahkan peserta hadir.

“Biasanya, kursus pendigitalan atau apa sahaja akan dilakukan di Kuantan. Situasi ini sukar bagi mereka yang tinggal di Pahang barat seperti Kuala Lipis, Raub, Jerantut yang memerlukan perbelanjaan agak tinggi untuk mereka ke Kuantan kerana perjalanan lebih tiga jam dengan kos penginapan, minyak dan sebagainya,” katanya. 

Kesukaran itu menurut Nurliana, yang sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Anugerah Tokoh Belia Negara 2020, membuatkan ramai usahawan luar bandar akhirnya tidak dapat menyertai program bimbingan berkenaan berikutan kos tinggi.

“Jadi, saya mengharapkan supaya kerajaan dapat mempertingkatkan dana bimbingan digital ini untuk pemberian latihan secara daerah bagi memastikan tiada terpinggir dalam usaha kerajaan mendigitalkan usahawan,” katanya. 

Usahawan wanita itu juga melihat akan keperluan satu geran digital bagi pembelian pelbagai peranti, membangunkan laman sesawang dan pembelian perisian aplikasi yang bersesuaian bagi melengkapkan perusahaan mereka, sejajar dengan matlamat mendigitalkan perniagaan.

Jangan terlalu ramai dalam satu program

Sementara itu,  Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Daerah Lipis Amran Ali melihat ada kewajarannya kerajaan mempertimbangkan peningkatan dana bimbingan digital yang lebih spesifik dengan tidak menghimpunkan terlalu ramai usahawan dalam satu program.

“Apabila berkaitan mendigitalkan perniagaan, bukan semuanya celik IT, tahu guna peranti dan kerana itu, sebaiknya sesuatu program bimbingan itu (perlu) dilaksanakan dalam skala kecil untuk lebih mudah faham,” katanya. 

Dalam mendigitalkan perniagaan usahawan luar bandar, pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM cawangan Raub, Mohd Rozaimy Ridzuan berpandangan Belanjawan 2025 perlu menekankan kursus berkaitan keselamatan siber dan analisis data. 

“Mendigitalkan perniagaan tidak boleh sekadar tertumpu kepada pemasaran sahaja tetapi usahawan luar bandar juga perlu ditingkatkan pengetahuan berkaitan keselamatan siber untuk mengenal pasti ancaman siber yang semakin licik.

“Selain itu, kursus berkaitan analisis data penting supaya mereka dapat membuat keputusan yang baik berdasarkan analisis perusahaan mereka dengan memahami kelakuan atau sikap pengguna serta trend semasa,” katanya. 

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS