Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu kerusi Parlimen Borneo: Undangan debat Bersih tak ikhlas - Ahli akademik
Diterbitkan:  Oct 12, 2024 10:11 AM
Dikemaskini: 2:30 AM

Badan pemantau pilihan raya Bersih menggesa debat terbuka diadakan berhubung peruntukan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak, antara dua ahli akademik yang memiliki pandangan berbeza berkenaan perkara itu.

Sementara salah seorangnya memberitahu Malaysiakini dia bersetuju untuk berdebat, seorang lagi menyifatkan jemputan Bersih itu sebagai “tidak ikhlas”.

Ia selepas Bersih mengeluarkan kenyataan media semalam, seleaps berakhirnya jelajah “Road to Reform” yang turut menyentuh topik itu.

“Bagi memulakan dialog tersebut, BERSIH mengusulkan agar satu debat terbuka diadakan antara dua intelektual terkemuka yang mewakili dua sudut pandang yang berbeza, iaitu Profesor Wong Chin Huat dan Profesor James Chin.

“Kedua-duanya mempunyai pandangan yang berseberangan tetapi berkongsi matlamat yang sama untuk mengangkat hak Sabah dan Sarawak seperti yang disemangati di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Dialog dan perbahasan ini perlu dilakukan secara jujur, telus, terbuka dan tidak berpaksikan sentimen yang berlebihan serta melabelkan pihak yang berbeza pendapat sebagai anti atau pro kepada wilayah tertentu di Malaysia, kerana ini adalah isu nasional yang melibatkan kepentingan federalisme Malaysia, nilai dan nisbah pengundi, dan semua warganegara,” kata Bersih.

Ketika dihubungi, Wong yang merupakan pensyarah di Universiti Sunway dan anggota Projek Sama memberitahu dia setuju untuk menyertai debat itu.

Wong Chin Huat

‘Tunggang nama saya’

Namun, Chin pula menyifatkan undangan itu sebagai gimik politik yang tidak

Pensyarah University of Tasmania itu berkata Bersih boleh sahaja mengundangnya untuk menyertai jelajah ‘Road to Reform’ - seperti Wong - namun mereka tidak berbuat demikian.

Dia juga mempersoalkan niat Bersih yang secara terbuka menggesa debat diadakan dan menyebut namanya dalam kenyataan media, walaupun ramai aktivis badan itu mengenalinya secara peribadi dan boleh menghubunginya secara terus.

Menurut Chin, beberapa pihak di Sabah dan Sarawak memberitahu yang namanya kerap dibangkitkan ketika jelajah Bersih memandangkan pandangannya bertentangan dengan badan itu.

James Chin

Dia mendakwa itulah sebabnya Bersih kini mengheretnya untuk berdebat.

“Dengan mengheret saya, mereka tahu ada orang di Sabah dan Sarawak yang memerhati secara cermat isu ini akan turut serta. Jadi mereka macam menunggang nama saya juga.

“Ini sikap hipokrit kerana seperti yang telah saya katakan, mereka boleh saja undang saya dalam jelajah mereka. Saya boleh sertai menerusi Zoom (seperti Wong).

“Hakikat yang mereka tidak berbuat demikian sudah pun menunjukkan mereka tak ikhlas. Saya sifatkannya sebagai mentaliti penjajah - mereka datang dan beritahu kami apa yang perlu dilakukan.

“Ingat, Sabah dan Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia kerana ingin menyingkirkan penjajah kulit putih. Kami tidak akan menggantikannya (penjajahan) dengan orang Semenanjung,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Kerusi Dewan Negara

Sempena sambutan Hari Malaysia bulan lalu, Projek Sama mencadangkan apa yang dinamakannya sebagai “Dewan Negara 35/100”, yang antaranya memberikan 17 kerusi di Dewan Negara masing-masing kepada Sabah dan Sarawak, dan satu kerusi untuk Labuan.

Menurut NGO itu, ia akan membolehkan Malaysia Timur menghalang pindaan Perlembagaan yang dilihat menjejaskan kepentingannya. Ia juga lebih mudah dilakukan berbanding peruntukan satu pertiga kerusi Dewan Rakyat kepada Malaysia Timur.

Susulan itu, Bersih dan beberapa pihak lagi mengeluarkan kenyataan bersama bagi menyokong cadangan itu.

Chin menegaskan pendiriannya yang Sabah dan Sarawak sepatutnya diperuntukkan satu pertiga kerusi Dewan Rakyat, bukannya Dewan Negara yang tidak disebut dalam MA63.

Perjanjian itu menyatakan Dewan Rakyat perlu merangkumi 159 anggota, dengan 104 (65.4 peratus) dari Semenanjung, 16 (10 peratus) dari Sabah, 24 (15 peratus) dari Sarawak dan 15 (9.4 peratus) dari Singapura.

Ini bermaksud 34.6 peratus kerusi adalah di luar Semenanjung, yang menurut Chin satu langkah yang penting yang dipersetujui oleh pemimpin yang terlibat dalam pembentukan Malaysia.

Pada masa ini, Dewan Rakyat memiliki 222 kerusi, dengan 57 daripadanya (25.7 peratus) adalah kerusi Malaysia Timur, dengan satu kerusi di Labuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS