Seorang pemimpin peringkat pertengahan Bersatu menafikan wujud sebarang pelan kompromi melibatkan jawatan naib presiden parti itu dalam pemilihan bulan depan.
Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Mohd Rafiq Abdullah, sebaliknya berkata pelan kompromi hanya terpakai untuk kedudukan timbalan presiden parti itu, Ahmad Faizal Azumu, setiausaha agung Hamzah Zainudin dan ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) Azmin Ali.
“Saya akui memang ada pelan kompromi tetapi pelannya - saya nak beritahu - yang kita putuskan ialah untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin berunding bagi memutuskan tiga orang penting dalam parti, iaitu Datuk Seri Hamzah, Datuk Seri Azmin dan Datuk Seri Faizal.
“Tiga orang ini sahaja (terlibat), sebab kita sayang ketiga-tiga mereka yang merupakan orang penting dalam parti.
"Itulah keputusan yang kita buat, meminta Tan Sri (Muhyiddin) menentukan tiga orang ini sahaja.
“Jawatan yang lain terbuka dan sangat terbuka (untuk dipertandingkan),” katanya kepada Malaysiakini.
Adun Kuang itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang mempersoalkan tindakan ahli MPT yang didakwa mengikari cadangan Muhyiddin terkait pemilihan parti.
Media melaporkan, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa Muhyiddin "amat sedih dan kecewa" kerana beberapa ahli MPT cuba menjejaskan "pelan kompromi" yang dipersetujui sebelum ini.
Ahli Parlimen Machang itu turut mempersoalkan mengapa mereka bertanding untuk jawatan naib presiden walaupun sudah bersetuju dengan rancangan itu, lantas menyifatkan ia tidak bertanggungjawab.
Bagaimanapun kenyataan tersebut dilihat lebih menyasarkan pemimpin kanan Bersatu yang menyertai persaingan mengisi salah satu jawatan naib presiden.
"Bagi yang mencabar (jawatan naib presiden) tetapi tidak berada dalam pimpinan, saya rasa boleh diterima.
“Tetapi, mereka (ahli MPT) yang menawarkan diri sebagai calon naib presiden yang telah pun bersetuju dari awal menyerahkan mandat ini kepada presiden, akhirnya mereka juga yang bertanding," katanya yang dipetik FMT.
Untuk rekod Muhyiddin dan Hamzah tidak dicabar oleh sesiapa untuk jawatan presiden dan timbalan.
Exco Terengganu juga bertanding
Bagaimanapun terdapat enam nama disenaraikan sebagai calon bagi tiga tempat sebagai naib presiden.
Selain Ahmad Faizal sebagai 'muka baru', Radzi Jidin dan Ronald Kiandee bertanding untuk mempertahankan kedudukan masing-masing. Namun terdapat tiga nama lain turut berminat.
Satu-satunya nama yang dikenali ramai sebagai pemimpin pusat ialah Ketua Penerangan Bersatu Malaysia yang juga exco Terengganu, Razali Idris.
Dua nama lain ialah Mohd Rafiq sendiri serta A'ziss Zainal Abidin (Ketua Bersatu Batu Kawan).
Julai lalu Muhyiddin berkata, dia diberi mandat oleh MPT untuk berunding dengan barisan kepimpinan bagi memastikan pemilihan parti tidak menimbulkan perpecahan.
Menurut Mohd Rafiq tidak timbul isu mereka tidak mengikut petua pemilihan parti seperti yang didakwa Wan Ahmad Fayhsal kerana sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan Bersatu berhubung isu berkenaan.
"Pemilihan dalam parti kita ini sangat demokrasi dan terbuka, tetapi tetap dengan mematuhi syarat-syarat pertandingan.
“Sebab itu kalau kita lihat, sebenarnya ada lapan orang yang menawarkan diri (untuk jawatan naib presiden) tetapi hanya enam sahaja yang layak mengikut perlembagaan parti, dan mereka diterima dalam mesyuarat MPT serta diputuskan layak untuk bertanding.
“Maka tak timbul isu. Presiden pun ada dalam mesyuarat berkenaan dan tidak menyatakan apa-apa pun," katanya.
Undur jika dihubungi presiden
Mohd Rafiq juga mendakwa Muhyiddin sentiasa terbuka dan meraikan pertandingan asalkan individu terbabit mematuhi integriti parti.
Bahkan Ketua Bersatu Sungai Buloh itut mendakwa pertandingan itu berlangsung dalam semangat kekeluargaan, justeru tidak akan membawa kepada perpecahan.
Pada masa sama Mohd Rafiq berkata, dia hairan bagaimana Wan Ahmad Fayshal boleh membuat kenyataan sedemikian.
“Mungkin pandangan, penerimaan dan pemahaman dia berbeza.
"Sama ada dia salah faham, tak faham atau buat-buat tak faham, kita pun tak tahu," katanya.
Ditanya sama ada dia akan mengubah fikiran atau tidak ekoran pandangan yang diberikan Wan Ahmad Fayhsal, Mohd Rafiq menegaskan dia akan tetap bertanding.
“Yang akan memutuskan (menang atau kalah) adalah perwakilan.
"Cuma saya nak beritahu, kalau betul (dakwaan tidak mengikut petua pemilihan), Tan Sri sendiri akan hubungi saya, minta tarik diri, dan saya akan tarik diri.
“Tapi Tan Sri sendirilah, bukan melalui orang lain," katanya.
Sementara itu, Aziss yang dihubungi Malaysiakini berkata tidak timbul isu dia tidak mengikut petua pemilihan partinya dan dia bertanding atas semangat demokrasi.
"Memang jelas saya tak menderhaka,” katanya.
Aziss juga menegaskan tiada keperluan untuk dia menarik diri.
“Tak mungkin, kalau saya tarik diri orang akan anggap saya dengan berbagai tanggapan dan itu bukan perjuangan saya. Perjuangan saya demi kekuatan parti.
"Bagi pihak kami di bawah ini, siapa pun jadi pemimpin dan menang dalam pemilihan akan datang, kami tetap akan sokong.
"Kita bukan bermusuh tapi kita satu keluarga,” katanya.