Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin kecewa kenyataan melulu mengenai RUU kewarganegaraan
Diterbitkan:  Oct 11, 2024 7:26 PM
Dikemaskini: 11:26 AM

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, hari ini menyuarakan kekecewaannya terhadap "kenyataan melulu" yang melabelkan cadangan pindaan kewarganegaraan oleh kerajaan sebagai “jahat dan kejam”.

Ini susulan beberapa kumpulan masyarakat sivil dan aktivis yang terus mengkritik rang undang-undang (RUU) pindaan kewarganegaraan yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac lalu, tetapi hanya akan dibahaskan dalam sidang parlimen bermula minggu depan.

Bercakap pada sesi taklimat khas kepada media di Putrajaya hari ini, Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri telah mengambil maklum balas dari pelbagai pihak berkepentingan, termasuk gerakan masyarakat sivil, Suhakam, dan pakar perlembagaan, serta bertindak sewajarnya untuk memperbaiki rang undang-undang tersebut.

Ini termasuk membatalkan sebahagian daripada rancangan mereka yang akan menjadikan anak-anak terbuang (foundlings) memperoleh kewarganegaraan melalui pendaftaran, dan bukan secara automatik.

"Pengerusi Suhakam juga saya panggil dan tanya apa lagi perlu kita lakukan.

"NGO pun saya berhubung. Sebahagian menerima, sebahagian lagi walau diberi penjelasan masih berbeza pendapat. Itu lumrah.

"Di sebalik jaminan itu masih ada menulis kata pindaan ini kejam," katanya.

Penambahbaikan

Sebagai contoh, Saifuddin berkata cadangan pada masa ini yang melibatkan anak-anak terbuang ialah mereka akan dianggap "dilahirkan oleh ibu yang merupakan warganegara Malaysia" sehingga dibuktikan sebaliknya.

Ini secara automatik menjadikan mereka warganegara Malaysia, katanya.

Namun, Saifuddin mempertahankan cadangan kerajaan untuk mewajibkan anak-anak penduduk tetap (kedua-dua ibu bapa bukan warganegara) yang lahir di Malaysia memohon kewarganegaraan, berbanding undang-undang ketika ini yang memberikan kewarganegaraan secara automatik.

Dia menambah, peruntukan perlembagaan sedia ada yang membenarkan kewarganegaraan automatik kepada anak-anak penduduk tetap berasaskan keadaan selepas pemisahan Singapura dari Malaysia, dan kini "perlu dipinda."

"Kelahirannya di sesebuah negara bukan tiket untuk menjadi warganegara," katanya, sebagai respons kepada NGO Mandiri Borneo yang semalam menggesa ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak menolak rang undang-undang tersebut.

Dia menegaskan bahawa pindaan tersebut hanya akan terpakai kepada anak-anak yang ibu bapanya kedua-duanya berstatus PR, manakala mereka yang lahir di Malaysia dengan ibu bapa warganegara Malaysia akan mendapat kewarganegaraan secara automatik.

Menurunkan had umur

Mengenai kritikan terhadap cadangan menurunkan had umur untuk pendaftaran kewarganegaraan daripada 21 tahun kepada 18 tahun, Saifuddin berkata ini perlu kerana di bawah undang-undang, seseorang tidak lagi dianggap kanak-kanak setelah mencapai umur 18 tahun.

Dia juga menambah bahawa umur 18 tahun adalah had umur di mana seseorang warganegara boleh mengundi dalam pilihan raya.

Menteri itu turut memberi jaminan bahawa pindaan ini tidak akan menjejaskan kelayakan pemohon disebabkan kelewatan birokrasi dan rayuan.

“Sebagai contoh, jika permohonan dikemukakan ketika seseorang berusia 16 tahun, tetapi kementerian mengambil masa tujuh tahun untuk memprosesnya, kelayakan akan dianggap berdasarkan tarikh permohonan,” katanya.

Saifuddin juga berkata penurunan had umur kepada 18 tahun turut terpakai kepada anak-anak dengan dwi kewarganegaraan untuk membuat pilihan sama ada mereka mahu menjadi warganegara Malaysia atau melepaskan status tersebut.

Pihak berkuasa menjangkakan lebih ramai kanak-kanak akan mempunyai dwi kewarganegaraan selepas mereka yang dilahirkan oleh ibu warganegara Malaysia di luar negara dibenarkan mendapatkan kewarganegaraan Malaysia secara automatik. Ini kerana sebahagian daripada mereka juga layak untuk kewarganegaraan automatik di negara asal bapa mereka.

Kesan ke atas isteri warga asing

Saifuddin turut diminta mengulas mengenai satu lagi pindaan yang mungkin membatalkan kewarganegaraan yang diberikan kepada isteri warga asing yang berkahwin dengan lelaki warganegara Malaysia jika mereka membuat keputusan bercerai.

Pindaan tersebut bertujuan untuk mengubah perkataan dalam Perkara 26 Bahagian II Perlembagaan Persekutuan, menggantikan "tarikh perkahwinan" dengan "tarikh memperoleh kewarganegaraan."

Pindaan ini akan menyebabkan isteri warga asing yang berjaya memperoleh kewarganegaraan Malaysia berdepan risiko dibatalkan status kewarganegaraan jika perkahwinan dibubarkan dalam tempoh dua tahun selepas memperoleh status tersebut.

Menurut Saifuddin, pindaan yang dicadangkan bertujuan menjadikan Perlembagaan relevan kerana tiada isteri warga asing yang boleh memperoleh kewarganegaraan dalam tempoh dua tahun selepas berkahwin dengan warganegara Malaysia.

Sebaliknya, katanya, paling awal seseorang isteri warga asing layak untuk mendapat kewarganegaraan ialah selepas lapan tahun, melalui beberapa proses, termasuk penggunaan visa pasangan yang perlu diperbaharui setiap tahun selama lima tahun, dan kemudiannya permit kemasukan (dua tahun).

Berkenaan kebimbangan bahawa peruntukan tersebut boleh menyebabkan isteri warga asing tidak memiliki kewarganegaraan, Saifuddin menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan juga mempunyai peruntukan yang tidak membenarkan perkara tersebut berlaku.

"Ada dua fasal pelucutan (dalam perlembagaan). Satu lepas sukarela. Kedua, arahan pemerintah.

"Pelucutan melalui pemerintah tu jika ada (syaratnya) sangat ketat.

"Hampir tak ada kes kita lucutkan (kewargenageraan) sebab perlembagaan (Perkara 26) juga kata pemerintah tak boleh lucutkan (kewarganegeraan) yang mengakibatkan si polan tu tak ada kewarganegaraan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS