Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maut digigit Rottweiler: Balu dianugerah pampasan RM143,000

Seorang balu dianugerahkan pampasan RM143,000 dalam saman kecuaian berhubung kematian suaminya selepas digigit seekor anjing Rottweiler enam tahun lalu.

Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu pada 22 Jan membenarkan saman kecuaian oleh S Kaliammah terhadap syarikat keselamatan tempat dia dan S Silvaraj bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Quadrant Elite Force Sdn Bhd diperintahkan membayar RM108,000 sebagai tuntutan tanggungan, RM30,000 untuk kematian dan RM5,000 untuk kos pengebumian. Defendan memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi pada 1 Feb.

Menurut penghakiman bertulis yang didedahkan kepada umum dua hari lalu, Kaliammah, 46, dan Silvaraj bertugas di pos pengawal berasingan di sebuah sekolah berasrama penuh swasta di Tanjung Malim, Perak, pada hari kejadian pada 5 Sept 2018.

Dalam keterangan plaintif, Silvaraj datang melalui pos pengawalnya untuk menggunakan tandas di sana sekitar jam 12.30 tengah hari, dan memberitahunya dia diminta oleh pengurus operasi syarikat itu (saksi pembelaan 2 atau DW2) untuk menjaga anjing jantan bernama Rocky itu.

Dia mendakwa suaminya berkata DW2 memintanya membawa Rocky keluar sementara dari sangkar untuk kencing dan menjaga anjing itu selama tiga jam sebelum pengendali anjing terlatih (DW1) boleh datang. Silvaraj kemudian kembali ke pos pengawalnya.

Tidak lama kemudian, Kaliammah berkata dia mendengar melalui walkie talkie suaminya menjerit meminta tolong dan memberitahu penyelia dia digigit oleh Rottweiler itu.

Selepas bergegas ke pos pengawal suaminya, dia melihat kesan gigitan di tangan kiri si mati dan Rocky di dalam sangkar yang dibelit dengan rantai besi.

Dia berkata Silvaraj memberitahunya dia meletakkan rantai besi di sekeliling sangkar apabila Rocky menyalak dan menggigit tangan kirinya.

DW1 dan beberapa individu lain kemudian menghantar Silvaraj untuk rawatan di Klinik Kesihatan Tanjung Malim, di mana dia diberi suntikan dan empat jahitan di tangan kirinya. Dia kemudian kembali bertugas,

Menurut Kaliammah, tangan kirinya bengkak dan lelaki berusia 42 tahun itu mengalami demam panas lewat malam itu.

Empat hari selepas kejadian, dia mengalami sesak nafas dan pengsan, dan Kaliammah bergegas ke klinik yang sama, yang kemudiannya merujuknya ke Hospital Slim River.

Selepas pembedahan kecemasan, Silvaraj berada dalam keadaan koma dan meninggal dunia pada 15 Sept 2018. Sijil kematiannya menyatakan punca kematiannya sebagai 'renjatan septik sekunder kepada luka dijangkiti anggota badan atas kiri akibat gigitan anjing'.

Mengikut alasan penghakiman bertulis bertarikh 8 Okt, hakim Mahkamah Sesyen Nurul Mardhiah Mohammed Redza berkata syarikat itu cuai kerana meninggalkan Rocky bersendirian dengan Silvaraj tanpa pengawasan daripada pengendali anjing terlatih.

Dia menyatakan bahawa DW1 memberi keterangan bahawa Rottweiler tidak berbahaya kepada pengendali anjing tetapi 'bertindak balas kepada orang yang tidak dikenali'.

Dia menegaskan bahawa si mati bukan pengendali anjing dan dia adalah orang yang tidak dikenali Rocky.

“Justeru, tindakan membiarkan anjing itu bersendirian dengan si mati oleh defendan tanpa sebarang pengawasan daripada pengendali anjing terlatih adalah tidak boleh diterima.

“Ia adalah satu pengaturan yang tidak bertanggungjawab oleh DW2 untuk meninggalkan anjing itu tanpa pengawasan dan bergantung kepada si mati untuk menjaga anjing itu sehingga DW1 datang.

“Saya dapati kejadian digigit anjing itu boleh diramal oleh defendan kerana anjing itu bertindak balas terhadap orang yang tidak dikenali.

“Lebih selamat jika defendan telah menyediakan pengendali anjing bertauliah untuk hadir sebelum penyerahan anjing itu dibuat,” kata Nurul.

Menyentuh keterangan DW2 yang menafikan pernah mengarahkan Silvaraj menjaga Rocky buat sementara waktu, Nurul berkata keterangan lisan ini bercanggah dengan keterangan jurulatih/vendor anjing itu, yang merupakan saksi pembelaan ketiga (D3).

Hakim menyatakan bahawa D3 memberi keterangan dia diminta oleh DW2 untuk mengajar si mati cara mengendalikan anjing itu.

Dia berkata DW3 memberi keterangan dia membawa anjing itu berjalan-jalan dengan Silvaraj dan jurulatih itu cuba menyerahkan rantai itu kepada si mati pada 5 Sept.

Nurul menambah, keterangan DW3 adalah konsisten dengan keterangan Kaliammah tentang Silvaraj memberitahunya bahawa DW2 mengarahkan si mati membawa Rocky keluar untuk kencing dan menjaga anjing itu selama tiga jam sebelum DW1 boleh datang.

Dalam pembelaannya, Quadrant Elite Force menafikan liabiliti, berpendapat bahawa kecuaian Silvaraj sendiri dengan menyentuh Rocky atas kerelaan sendiri mengakibatkan kemalangan itu.

Firma guaman Nazrin Nasir T Anand & Co mewakili balu itu. Syarikat keselamatan itu diwakili oleh firma guaman Kingsley & Co.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS