Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'RUU Mufti akan jadikan Malaysia negara Islam sekelip mata'
Diterbitkan:  Oct 11, 2024 5:27 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 akan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam dalam sekelip mata, dakwa beberapa kumpulan dari Sabah dan Sarawak hari ini.

Menurut Borneo Post Online, 14 kumpulan yang berpangkalan di Sarawak dan Sabah itu juga mendakwa RUU berkenaan melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan merupakan serangan secara langsung terhadap sistem sekular di negara ini.

“Kami di Sabah dan Sarawak menentang keras Rang Undang-Undang Mufti yang dicadangkan yang bertujuan untuk memperluas kuasa mufti di Wilayah Persekutuan.

“Kami dengan tegas menolak sebarang usaha untuk diperintah oleh mufti, kerana ini akan secara efektif mengenepikan sistem raja berperlembagaan, kerajaan Madani, dan demokrasi berparlimen sekular yang menjadi asas Malaysia.

“Perubahan seperti ini akan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam dalam sekelip mata,” dakwa mereka.

Antara NGO yang mengeluarkan kenyataan bersama itu ialah Presiden Borneo’s Plight in Malaysia Foundation, Daniel John Jambun, Presiden Sabah Sarawak Rights Australia New Zealand, Robert Pei, pengasas Saya Anak Sarawak Peter John Jaban, Presiden Republic Sabah North Borneo, Mosses Paul Anap Ampang, Presiden Parti Bumi Kenyalang, Voon Lee Shan, dan duta budaya Gabungan Orang Asal Sabah Sarawak, Dayak Themothy Jagak.

Terdahulu hari ini, Bernama melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar berkata RUU itu akan dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga dalam sidang Parlimen yang akan bermula pada 14 Oktober.

Katanya pembentangan tersebut dibuat selepas kabinet memberi persetujuan.

"RUU ini bertujuan untuk memperkukuhkan institusi kefatwaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur, dan Labuan," katanya.

Bacaan pertama rang undang-undang itu dilakukan pada Julai lalu. RUU ini adalah salah satu daripada tiga rang undang-undang berkaitan hal ehwal Islam yang sedang dibentangkan untuk pindaan.

RUU ini digubal antaranya untuk memberi takrifan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sudut akidahnya bersumberkan aliran Asyairah dan Maturidiah.

Bagaimanapun RUU berkenaan dikritik beberapa pihak, termasuk Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail, yang menyifatkannya sebagai membawa “tafsiran sempit” dan tidak inklusif mengenai ahli sunnah wal jamaah.

Semalam, Sisters in Islam berkata undang-undang yang dicadangkan itu akan memberikan kuasa tanpa batasan kepada pihak berkuasa agama kerana antara lain, akan memberikan mereka kekebalan undang-undang.

‘Birokratisasi Islam’

Mengulas lanjut, kumpulan tersebut berkata RUU ini juga dibantah umat Islam yang bimbang “rang undang-undang ini menandakan peralihan sektarian yang lebih ketara dalam birokratisasi Islam sejak tahun 2000-an, bertujuan untuk menginstitusikan Asyairah sebagai versi Islam yang diiktiraf oleh negara”.

Mereka berpendapat politikisasi ideologi ini “akan memupuk sikap tidak bertoleransi dan radikalisme dengan mempromosikan nilai-nilai yang menafikan kemanusiaan serta melemahkan demokrasi”.

“Tindakan-tindakan ini merupakan serangan langsung terhadap sistem sekular, yang merupakan jaminan asas kepada Sabah dan Sarawak ketika Malaysia, dan juga Persekutuan Tanah Melayu, ditubuhkan.

“Kesan kumulatif daripada pelanggaran-pelanggaran ini menyerlahkan corak penghakisan terhadap jaminan perlembagaan yang bertujuan melindungi sifat pluralistik dan sekular persekutuan,”jelasnya.

Pandangan itu asalnya dikemukakan oleh penganalisis keselamatan Aizat Shamsuddin yang menumpukan perhatian kepada hubungan antara jenayah dan ideologi, terutamanya dalam konteks Malaysia dan negara-negara majoriti Muslim.

Kesan terhadap umat Islam dan bukan Islam

Menurut mereka, RUU ini akan memberikan kuasa luas kepada mufti, yang membolehkan fatwa dikeluarkan dan memberi kesan besar kepada umat Islam dan bukan Islam.

Fatwa seperti itu, tambah mereka, boleh memintas kuasa Parlimen dan mahkamah – secara efektif meletakkan undang-undang agama di atas undang-undang sivil, sementara di sisi yang lain mufti tidak mempunyai kuasa di Parlimen kerana mereka bukan wakil rakyat yang dipilih.

“Sabah dan Sarawak perlu menegaskan hak mereka untuk menentukan nasib sendiri, kerana pencabulan hak mereka di bawah persekutuan telah menyerlahkan kepentingan memperuntukkan 35 peratus kerusi di Dewan Rakyat kepada negeri-negeri ini – prinsip yang berakar pada kewajipan perlembagaan dan sejarah untuk melindungi kepentingan Malaysia Timur.

“Namun perkara ini juga telah diabaikan, menyebabkan wilayah-wilayah ini terdedah kepada penguasaan oleh Semenanjung yang lebih padat penduduknya,” tambah mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS