Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengumuman rancangan penstrukturan Malaysiakini
Diterbitkan:  Oct 11, 2024 5:13 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Untuk memastikan kestabilan dan kejayaan jangka panjang Malaysiakini, kami memulakan penstrukturan semula dan selepas pertimbangan yang teliti dilakukan, beberapa pekerja akan terjejas.

Kami telah bekerja dengan gigih untuk meminimumkan kehilangan pekerjaan. Bagaimanapun, beberapa pengurangan dan penstrukturan semula bagi fungsi tertentu tidak dapat dielakkan.

Tindakan ini dilakukan selepas kami kehabisan semua cara yang mungkin untuk mengurangkan kerugian semasa semua media berita di seluruh dunia berdepan masa yang sukar.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai saluran berita di banyak tempat terpaksa memberhentikan kakitangannya atau ditutup.

Malaysiakini adalah antara pemain terbaru yang bertindak balas terhadap gangguan tersebut.

“Ini adalah masa yang sukar untuk semua orang di Malaysiakini, terutamanya mereka yang terjejas secara langsung.

"Kami komited untuk menyokong mereka semampu kami. Malaysiakini tidak asing dengan kesukaran, dan kami telah mengharungi pelbagai cabaran berkat sokongan tidak berbelah bahagi daripada pelanggan kami,” kata Editor Eksekutif Malaysiakini, RK Anand.

Ketua Operasi Malaysiakini, Tham Seen Hau, pula berkata penstrukturan semula itu penting untuk memastikan portal terbabit kekal berdaya tahan dan terus memberi tumpuan kepada misi teras iaitu membawa berita eksklusif dengan mendalam yang penting kepada negara.

Apa yang kami ingin anda tahu:

Adakah Malaysiakini ditutup?
Tidak. Kami telah mengalami banyak pasang surut dalam tempoh 25 tahun yang lalu. Pejabat kami telah diserbu beberapa kali, dan kami terpaksa menutup unit dan anak syarikat yang berbeza sebelum ini.

Penstrukturan semula ini adalah salah satu tindakan untuk memastikan kemampanan kami. Kami yakin kami boleh terus berkhidmat untuk Malaysia.

Berapa ramai yang terjejas?
Proses penstrukturan semula sedang berjalan. Beberapa kakitangan kami dicadangkan agar memulakan tugas di anak syarikat kami, FG Media. Beberapa orang lagi akan dilepaskan.

Bagaimanakah kandungan Malaysiakini akan terjejas?
Dengan sumber yang berkurangan, kami harus lebih selektif dalam laporan yang kami sediakan. Kami sentiasa berbangga dengan berita tergempar yang memenangi anugerah, berita eksklusif, analisis mendalam dan laporan interaktif yang kami hasilkan.

Kami akan terus memberi tumpuan kepada bidang teras ini untuk membawa berita dan sudut pandangan yang penting.

Bagaimana kita boleh membantu Malaysiakini?
Pendapatan pembaca menjadikan kami bebas daripada segi kewangan dan editorial. Langgan atau derma untuk memastikan kami terus mampan.

RK Anand
Editor Eksekutif

Tham Seen Hau
Ketua Operasi


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS