Pemimpin DAP Johor berkata penukaran hari cuti dari Jumaat kepada Ahad tidak akan menghakis keislaman sesebuah negeri.
Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bahgarib Ali berkata demikian sebagai membidas PAS Johor yang menyifatkan penukaran hari cuti hujung minggu negeri itu dari Jumaat kepada Ahad bermula tahun depan sebagai mewarisi peninggalan penjajah.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP itu berkata bukan segala perkara yang ditinggalkan oleh penjajah atau apa-apa juga pengamalan golongan terdahulu sebagai suatu yang tidak baik.
"Jika alasan ini diguna pakai, adakah anda akan turut menyatakan bahawa sistem beraja di negara kita sebagai mewarisi peninggalan penjajah juga?
"Bagaimana pula dengan amalan sistem demokrasi dan pilihan raya? Bagaimana dengan sistem parlimen? Tidakkah ini semua diwarisi penjajah?
"Jadi saya ingin bertanya, apakah mesej sebenar yang anda ingin cuba sampaikan kepada masyarakat?" katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sheikh Umar mengulas kenyataan Yang Dipertua PAS kawasan Johor Bahru, Mohd Mazri Yahya yang beranggapan bahawa cuti hujung minggu di negeri Johor yang ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad adalah mewarisi peninggalan penjajah.
Mohd Mazri melontarkan pandangan itu ketika menyokong Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim yang membantah cuti mingguan di Johor ditukar.
Hassan dalam kenyataan pada 8 Okt berkata Jumaat adalah hari yang mulia dalam budaya Islam dan mempunyai pengertian yang besar bagi masyarakat Islam di seluruh dunia.
Dia juga berkata perubahan itu memberi makna Johor tersendiri iaitu melupakan pengertian budaya dan sejarah politik Johor.
Sementara itu, Sheikh Umar berkata soal cuti pada hari Jumaat bukanlah ukuran keislaman, tetapi ibadah khusus solat Jumaat itu sendiri.
"Dalam ayat 9 Surah Al-Jumu'ah, Allah mengarahkan orang beriman agar bersegera menunaikan solat Jumaat dan meninggalkan aktiviti jual beli apabila mendengar azan.
"Bahkan ayat berikutnya telah menyeru orang beriman supaya kembali bertebaran di muka bumi untuk menjalankan urusan dan mencari apa sahaja yang dihajati dari limpah kurnia Allah.
"Dalam hal ini, kita tidak bimbang kerana titah Pemangku Sultan Johor cukup jelas agar semua syarikat-syarikat swasta, pihak kerajaan serta pihak yang berkaitan memberi ruang dan masa yang secukupnya untuk orang Islam menunaikan solat Jumaat pada waktunya," tambahnya.
Johor sebelum ini telah beberapa kali mengubah cuti hujung minggunya.
Negeri di selatan semenanjung itu melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad kali pertama pada tahun 1994 ketika Muhyiddin Yassin menjadi menteri besar.
Bagaimanapun pada 1 Jan 2014, Sultan Ibrahim "mengembalikan tradisi" dengan menukar cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu.
Ia sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan terhadap agama Islam sebagai agama rasmi.
Dalam kenyataan terbaru, Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan mana-mana pihak yang tidak bersetuju cuti hujung minggu di Johor ditukar kepada Sabtu dan Ahad supaya berpindah ke negeri lain.
Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi pula menggesa agar isu berkenaan tidak dijadikan bahan politik.
Onn Hafiz berkata kerajaan negeri menjunjung titah Pemangku Sultan Johor berhubung penukaran cuti hujung minggu berkenaan.