Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GISBH: Pisahkan kanak-kanak untuk siasatan menyeluruh PDRM
Diterbitkan:  Oct 11, 2024 4:37 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Tindakan memisahkan kanak-kanak dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dengan ibu bapa mereka bertujuan untuk melakukan siasatan menyeluruh berhubung isu berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan siasatan mengikut lunas undang-undang dan fokusnya adalah eksploitasi wanita dan kanak-kanak.

"Apabila polis selamatkan, polis berpandukan kepada 11 akta buat masa sekarang dan penyiasatan terus melebar.

“Kami fokus (siasatan) kepada eksploitasi wanita dan kanak-kanak termasuk potensi berlaku pelecehan seksual kanak-kanak mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya dalam sesi libat urus dan ramah mesra bersama ketua pengarang media di Puutrajaya hari ini.

Saifuddin mengulas laporan mengenai enam peguam bakal mengemukakan bukti di mahkamah bagi menyokong dakwaan bahawa tindakan memisahkan kanak-kanak dengan ibu bapa yang dikaitkan dengan GISBH tidak mengikut undang-undang.

Katanya PDRM ketika ini menjalankan siasatan berhubung GISBH dengan cukup telus dan berhati-hati kerana ia melibatkan kepentingan awam.

"Setakat ini, 70 (kanak-kanak) sudah kami pulangkan kepada keluarga… (manakala) sebahagian lagi belum kami pulangkan, maksudnya belum selesai (siasatan).

"Ketika belum selesai, kalau ada ibu bapa yang nak temui (anak), sudah tentu polis kena urus perkara itu," katanya.

Semalam, 16 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH yang dikaitkan dengan kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata setakat ini 58 individu ditahan di bawah akta berkenaan sejak Op Global dilaksanakan Sept lalu.

Mohd Shuhaily berkata sepanjang tempoh operasi itu dilaksanakan, seramai 415 individu ditahan dan 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun diselamatkan oleh pihak polis.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS