Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
4 warga emas Lawas dapat kerakyatan lepas berdekad - aktivis

Nota editor: Artikel ini telah dipinda berikutan penjelasan daripada Agnes.


Kesukaran puluhan tahun dalam usaha mendapatkan kewarganegaraan Malaysia membuahkan hasil bagi empat warga emas dari Lawas, Sarawak, apabila mereka akhirnya memperoleh kad pengenalan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketika dihubungi, aktivis sosial Agnes Padan berkata dia dimaklumkan oleh anak-anak penerima bahawa mereka akhirnya menerima kemas kini status kewarganegaraan yang ditunggu-tunggu selama ini.

"Ia mengejutkan saya. Tiba-tiba saya menerima mesej semalam daripada salah seorang anak warga emas berkenaan, memberitahu saya 'Terima kasih! Saya hanya mampu mendoakan kamu...'. Dia berkata ibunya akhirnya seorang warganegara.

"Saya tidak tahu sama ada mahu ketawa atau menangis," kata Agnes yang selama ini menemani warga emas berkenaan dalam urusan mereka dengan JPN, serta ramai lagi dari pedalaman Lawas, di kawasan bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.

Menurut Agnes, lima warga emas yang menerima dokumen mereka hari ini ialah Sarlin Rining, Yohana Sinau, Ribka Palong, dan Anderias Sia.

"Semua mereka, JPN mengambil MyKad mereka sebelum ini, tetapi akhirnya mengembalikannya hari ini," katanya sambil menambah tiada maklumat terkini mengenai kes mereka sejak tahun lepas.

Agnes berkata awal hari ini dia melawat Sarlin yang dilahirkan pada 1948 di Long Bawan di wilayah Kalimantan Indonesia sebelum mengikut ibu bapanya ke bandar sempadan Ba’Kelalan di Sarawak.

Ramai dalam kalangan generasi buta huruf tanpa rekod kelahiran rasmi disimpan, menyebabkan sebilangan besar warga emas tanpa kerakyatan di kampung berkenaan.

Sarlin, yang kini berusia pertengahan 70-an, pada mulanya diberikan MyKad pada April 2019, tetapi hanya empat bulan kemudian, dokumen itu ditarik balik kerana kebimbangan dia telah memberikan "maklumat palsu" dalam permohonan kewarganegaraannya.

Orang Lun Bawang di Ba'kelalan dianggap etnik yang sama dengan orang Krayan di Long Bawan kerana mereka berkongsi bahasa, budaya, dan agama yang sama dan perkahwinan rentas sempadan adalah perkara biasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS