Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hukum sebat kuno, kejam - LFL gesa k'jaan laksana moratorium
Diterbitkan:  Oct 11, 2024 3:03 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Lawyers for Liberty (LFL) menggesa kerajaan segera melaksanakan moratorium hukuman sebat di seluruh negara sementara menunggu siasatan berhubung kematian seorang banduan di penjara Kedah minggu lalu.

Pengarah kumpulan hak asasi manusia itu, Zaid Malek, berkata hukuman "kejam dan kuno" yang diperkenalkan semasa penjajahan British untuk menimbulkan kesakitan dan penderitaan melampau kepada pesalah tidak lagi relevan dalam masyarakat moden.

Dia merujuk kematian banduan Zaidi Abd Hamid, 49, yang dilaporkan akibat jangkitan bakteria dalam darah selepas menjalani hukuman sebat di Penjara Pokok Sena, Kedah, pada 7 Oktober.

Zaidi dilaporkan mengalami pendarahan teruk seminggu selepas hukuman sebat, yang membimbangkan keluarganya, terutama memandangkan keadaan penyakitnya seperti tekanan darah tinggi.

"Zaidi, yang hukuman matinya telah dikurangkan kepada penjara selama 33 tahun, sepatutnya berpeluang dibebaskan selepas menjalani hukuman tersebut.

"Amat menyedihkan peluang kedua untuk hidup punah akibat kesan hukuman sebat yang terpaksa dia lalui.

"Dia terlepas hukuman gantung, tetapi meninggal dunia secara tidak sah dan kejam akibat sebatan," dakwa Zaid (gambar atas) pada kenyataan hari ini.

Zaid turut mengecam sikap "tidak peduli dan tidak bertanggungjawab" daripada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution serta kerajaan berhubung kematian Zaidi.

"Keadaan ini tidak adil dan zalim kepada keluarga Zaidi. Mereka berhak mendapat jawapan," katanya.

Memadai hukum penjara

Zaid menyoal mengapa Zaidi dibenarkan menjalani hukuman sebat memandangkan sejarah kesihatannya yang termasuk tekanan darah tinggi dan diabetes.

Dia turut mengecam Jabatan Penjara yang memaklumkan telah memulakan siasatan dalaman untuk menyemak prosedur operasi standard (SOP) yang diikuti susulan kematian Zaidi.

Kematian banduan tersebut menunjukkan "kegagalan mutlak" tugas Pegawai Perubatan Penjara, yang bertanggungjawab di bawah Seksyen 290 Kanun Prosedur Jenayah untuk memastikan sama ada pesalah layak menjalani hukuman sebat atau tidak, kata Zaid lagi.

Zaid menegaskan kepentingan menghentikan hukuman sebat, berkata hukuman penjara sudah mencukupi untuk memastikan keselamatan awam daripada jenayah berat.

"Kerajaan mempunyai tanggungjawab di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan nyawa dan kebebasan setiap individu dilindungi dan hak ini turut terpakai kepada banduan.

"Mereka yang tidak dijatuhkan hukuman mati mesti dilindungi daripada sebarang kemungkinan kematian semasa dalam tahanan kerajaan. Jelas, selagi hukuman sebat dilaksanakan, kerajaan mempertaruhkan nyawa banduan-banduan ini serta harapan keluarga mereka yang menanti pembebasan."

"Kami menggesa kerajaan, yang mengaku sebagai reformis, untuk memansuhkan hukuman sebat yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan berpotensi membawa maut. Sudah tiba masanya negara kita beralih daripada hukuman penal yang ganas dan melabur dalam pemulihan banduan."

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS