Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan jadikan hari cuti sebagai bahan politik - MB
Diterbitkan:  Oct 11, 2024 1:43 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi menggesa semua pihak berhenti membuat spekulasi, kenyataan dan menjadikan cuti hujung minggu di Johor sebagai bahan politik.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas pengumuman penukaran cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad, bermula Januari depan.

“Setiap keputusan yang diambil ini adalah yang terbaik untuk negeri dan rakyat Johor secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya.

Mengulas lanjut, Onn berkata negeri itu telah menerima nasihat daripada pihak berkuasa agama yang memberi jaminan tiada kompromi terhadap kesucian Islam apabila perubahan itu dilaksanakan tahun depan.

Memetik ayat al-Quran, Onn Hafiz mengingatkan umat Islam diperintahkan untuk mengutamakan solat Jumaat berbanding urusan dunia lain, tetapi setelah selesai, aktiviti harian termasuk bekerja perlu diteruskan.

“Insya-Allah, tanpa mengetepikan kepentingan urusan solat Jumaat, kerajaan negeri yakin keputusan ini bakal memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor, mereka akan mendapat lebih masa berkualiti bersama ahli keluarga tersayang dengan memudahkan mereka merancang aktiviti pada hujung minggu.

“Saya berharap agar tidak ada lagi mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi, kenyataan dan menjadikan ia bahan politik yang boleh mengeruhkan keadaan sehingga menjejaskan keharmonian negeri Johor,” tegasnya.

Pada 7 Okt lalu, mengumumkan cuti hujung minggu di negeri Johor ditukar daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025.

Tunku Ismail memaklumkan cadangan berkenaan telah mendapat perkenan dan restu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan mengarahkan Onn serta mufti Johor mengadakan perbincangan berkaitan keputusan terbaru itu.

Susulan keputusan terbaru itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengkritik pengumuman berkenaan.

Hassan Abdul Karim

Pemimpin lantang PKR itu berkata, Jumaat adalah hari mulia dalam budaya Islam dan mempunyai pengertian yang besar bagi penganut agama itu di seluruh dunia.

PAS Johor pula berkata cuti Sabtu dan Ahad adalah peninggalan penjajah.

Bagaimanapun, semalam, Tunku Ismail menitahkan mana-mana pihak yang tidak bersetuju cuti hujung minggu di Johor ditukar kepada Sabtu dan Ahad supaya berpindah ke negeri lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS