Paling Popular
Terkini

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyindir sekumpulan peguam yang mahu menyaman kerajaan atas dakwaan memisahkan kanak-kanak dengan ibu bapa yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

"Janganla baru bangun tidur. 

“Kita selamatkan 625 orang, ucap terima kasih dulu," katanya dalam sesi bersama media di kementeriannya di Putrajaya pagi ini.

Katanya, siasatan berkaitan potensi terdapat eksploitasi kanak-kanak dan wanita masih berjalan.

Pemimpin PKR itu berkata, polis harus tahu sama ada kanak-kanak itu diserahkan untuk jagaan GISBH secara sukarela atau dipaksa berbuat demikian.

Setakat ini, katanya, seramai 70 kanak-kanak yang diselamatkan diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Selasa lalu, dilaporkan enam peguam mahu mengemukakan bukti di mahkamah bagi menyokong dakwaan terdapat tindakan memisahkan kanak-kanak dengan ibu bapa yang dikaitkan dengan GISBH tanpa mengikut undang-undang.

Mereka ialah Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir; Rizal Abdullah; Dorina Abdullah; Hizri Hasshan; Muhammad Shahrin Satheer dan Asmawati Mohd Shuaib.

Dakwa mereka, pemisahan berlaku di luar sempadan protokol undang-undang, termasuk Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak.

“Kami bercadang untuk membentangkan bukti komprehensif yang menyokong pendirian anak guam kami di hadapan mahkamah,” kata mereka dalam kenyataan pada Selasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS