Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan kaji kenyataan berbaur kebencian di media sosial
Diterbitkan:  Oct 11, 2024 12:51 PM
Dikemaskini: 4:52 AM

Satu kajian mengenai kenyataan berbaur kebencian di Malaysia dilaksanakan untuk mengenal pasti tahap kefahaman, pengaruh dan kesan permasalahan kenyataan berkenaan dalam masyarakat.

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata pelaksanaan kajian tersebut dibuat kerana masih belum terdapat kajian khusus berhubung isu terbabit dalam negara.

“Perihal berkaitan dengan kenyataan berbaur kebencian menjadi semakin penting, kritikal dan serius seiring dengan perkembangan  landskap kemajuan teknologi digital dan informasi terkini serta  didorong dengan peningkatan penggunaan media sosial dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya. 

“Media sosial bukan sahaja menjadi platform utama bagi tujuan komunikasi dan interaksi sosial, malah ia juga telah menjadi medium penyebaran dan penularan kenyataan berbaur kebencian,” katanya dalam satu kenyataan.

Aaron Ago Dagang

Menurut Aaron, disebabkan itu satu kajian oleh pasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dilaksanakan secara komprehensif untuk mengisi kelompangan tersebut.

Katanya, kajian itu memfokuskan kepada kenyataan berbaur kebencian tanpa melibatkan isu berkaitan kebebasan bersuara.

Ia bertujuan untuk mengenal pasti tahap kefahaman masyarakat berkaitan kenyataan berbaur kebencian di media sosial dan pengaruhnya terhadap tingkah laku masyarakat.

“Mengkaji kesan kenyataan berbaur kebencian di media sosial  kepada hubungan dan ketegangan etnik-agama dan mencadangkan strategi dan langkah yang efektif bagi  menangani isu berkaitan kenyataan berbaur kebencian dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik dan agama di Malaysia,” katanya.

Aaron berkata kenyataan berbaur kebencian di media sosial mempunyai impak yang signifikan terhadap hubungan antara etnik dan agama dalam sesebuah masyarakat. 

Katanya, media sosial sebagai platform yang luas dan mudah diakses sering menjadi medium penyebaran kenyataan yang berbaur kebencian, yang boleh mencetuskan ketegangan antara  kumpulan etnik dan agama yang berbeza. 

“Kenyataan berbaur kebencian yang tersebar di media sosial cenderung  memperkukuh stereotaip negatif, meningkatkan prasangka dan memupuk kebencian antara kumpulan etnik dan agama. 

“Ini boleh merenggangkan hubungan antara komuniti yang berbeza dan mencipta  jurang yang lebih dalam, yang seterusnya membawa kepada  pengasingan sosial,” katanya.

Justeru, Aaron berkata kajian yang dilaksanakan oleh Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan UPM Consultancy and Services Sdn Bhd itu memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan komitmen berterusan.

“Dengan langkah-langkah yang sesuai, kerajaan dapat memastikan masyarakat hidup dalam persekitaran yang lebih harmoni dan bebas dari  kenyataan berbaur kebencian,” tambahnya.

Kajian mengenai kenyataan berbaur kebencian di Malaysia merupakan salah satu daripada Kajian Sosial Kementerian Perpaduan Negara yang dibiayai oleh Kementerian Ekonomi bawah peruntukan Rolling Plan Keempat Tahun 2024 Rancangan Malaysia  Kedua Belas (RMKe-12). 

Kajian ini dijalankan dalam tempoh enam bulan bermula 7 Disember 2023 sehingga 6 Jun 2024. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS