Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bacaan kedua, ketiga RUU Mufti WP dibentang pada sesi kali ini
Diterbitkan:  Oct 11, 2024 12:35 PM
Dikemaskini: 4:35 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar mengesahkan Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang parlimen bermula 14 Okt ini.

Katanya pembentangan tersebut dibuat selepas kabinet memberi persetujuan.

"RUU ini bertujuan untuk memperkukuhkan institusi kefatwaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur, dan Labuan," katanya.

Mohd Na'im menjelaskan kepada media selepas menyempurnakan pelancaran dan pelepasan Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan al-Falah anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan bacaan pertama RUU tersebut dilakukan pada Julai lalu. Ia merupakan satu daripada tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam yang dibentangkan untuk pindaan.

RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 digubal antaranya untuk memberi takrifan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sudut akidahnya bersumberkan aliran Asyairah dan Maturidiah.

Mohd Na'im juga berkata RUU Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) tidak akan dibentangkan pada sesi parlimen kali ini.

"Tiada perbentangan RUU 355 pada sesi parlimen minggu depan, dan buat masa ini belum ada keputusan mengenainya," kata senator terbabit.

Pada Julai lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata pindaan terhadap RUU 355 tidak akan dilakukan secara terburu-buru, sebaliknya perlu mempertimbangkan pandangan daripada semua pihak berkepentingan.

RUU 355 bertujuan untuk meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah, yang kini terhad kepada denda maksimum RM5,000, penjara sehingga tiga tahun, atau sebatan enam kali, kepada bidang kuasa yang lebih luas mengikut syariah, kecuali melibatkan hukuman bunuh.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS