Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TikTok sahkan berhentikan pekerja di pejabat Malaysia
Diterbitkan:  Oct 11, 2024 11:14 AM
Dikemaskini: 3:21 AM

Platform media sosial TikTok mengesahkan laporan pemberhentian pekerja di Malaysia sebagai antara langkah pengurangan tenaga kerja global.

Jurucakap syarikat yang mengesahkan perkara tersebut berkata dia tidak dapat mendedahkan jumlah tepat pekerja yang terjejas oleh pengurangan ini.

“Kami tidak dapat memberikan angka yang tepat pada masa ini kerana proses peraturan pekerjaan tempatan yang berbeza di seluruh dunia.

“Kami menjangkakan beberapa ratus orang akan terjejas secara global,” menurut jurucakap itu, lapor FMT.

Jurucakap itu juga menambah keputusan ini selaras dengan usaha berterusan TikTok untuk meningkatkan keupayaan penyederhanaan kandungannya.

“Kami menjangka untuk melabur AS$2 bilion secara global dalam aspek kepercayaan dan keselamatan pada tahun 2024 sahaja dan kami terus memperbaiki keberkesanan usaha kami, dengan 80 peratus kandungan yang melanggar peraturan kini dikeluarkan oleh teknologi automatik,” kata jurucakap tersebut.

Pengesahan ini menyusul laporan semalam yang memetik sumber mengatakan TikTok, yang dimiliki oleh firma China ByteDance, telah memberhentikan ratusan pekerja di cawangannya di Malaysia.

Pemberhentian pekerja di Malaysia juga berlaku selepas spekulasi sejak awal tahun ini bahawa TikTok merancang mengurangkan sebahagian besar tenaga kerja globalnya dalam operasi dan pemasaran.

Pada bulan Jun, Bloomberg melaporkan ByteDance memberhentikan 450 kakitangan di pejabatnya di Indonesia selepas pengambilalihan sebuah firma e-dagang tempatan yang kemudiannya digabungkan ke dalam operasi TikTok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS