Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bank Dunia: Ramai graduan Malaysia bekerja tak setaraf kelayakan
Diterbitkan:  Oct 11, 2024 10:00 AM
Dikemaskini: 2:00 AM

Lebih daripada satu perempat pemegang ijazah di Malaysia bekerja dalam bidang pekerjaan yang tidak setaraf kelayakan mereka, selain sukar memperoleh pekerjaan berkemahiran tinggi, menurut Bank Dunia.

Bank Dunia menyatakan 26.9 peratus lepasan ijazah pada tahun 2022 tidak memanfaatkan kemahiran mereka, iaitu peningkatan besar berbanding hanya 8.6 peratus pada tahun 2010.

"Ini adalah signifikan kerana pemegang ijazah mewakili 48.6 peratus tenaga kerja berpendidikan tinggi pada tahun 2022," kata Bank Dunia dalam laporan Malaysia Economic Monitor yang diterbitkan minggu ini.

Trend yang sama juga diperhatikan di kalangan pemegang diploma, walaupun terdapat peningkatan dalam kalangan graduan STPM, tambahnya.

Menurut Bank Dunia, adalah tidak mengejutkan apabila trend ini didorong oleh jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi yang tidak mencukupi.

Dari tahun 2018 hingga 2023, kurang daripada 50,000 pekerjaan berkemahiran tinggi ditawarkan, sementara 200,000 hingga 350,000 graduan bersaing untuk pekerjaan tersebut setiap tahun dalam tempoh yang sama, kata Bank Dunia.

Pada tahun 2023, terdapat kira-kira satu kekosongan pekerjaan berkemahiran tinggi bagi setiap enam graduan yang menamatkan pengajian tinggi mereka.

Ini termasuk kursus pra-universiti atau asasi sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran.

Pekerjaan tak setaraf kelayakan paling tinggi di Kelantan

Kelantan mempunyai kadar pekerjaan tak setaraf kelayakan tertinggi dengan lebih 50 peratus pekerja berkemahiran bekerja dalam jawatan yang terlebih layak untuk mereka. Kadar ini melebihi purata seluruh negara sebanyak 36.9 peratus.

Ini diikuti oleh Terengganu, Perlis, Pahang dan Johor, sekali gus menunjukkan kekurangan peluang untuk graduan di negeri-negeri ini.

Sebaliknya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor mempunyai kadar pekerjaan tak sepadan kelayakan yang lebih rendah, menunjukkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi di negeri-negeri ini.

Pada kadar 29.6 peratus daripada semua pekerjaan, Malaysia mempunyai lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi berbanding negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, namun masih jauh ketinggalan di belakang Singapura yang mencatatkan kadar 60 peratus.

"Beberapa strategi utama yang dapat menangani cabaran ini termasuk menyelaraskan kurikulum pendidikan dengan keperluan industri, memperkukuh daya saing Malaysia untuk menarik pelaburan berkualiti dan mempromosikan penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, serta menyediakan kemahiran seumur hidup yang dapat membantu mengharungi sifat kerja yang mencabar," kata Bank Dunia dalam laporan tersebut.

Laporan Bank Dunia ini memberikan konteks lebih luas untuk data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan bahawa kadar pengangguran graduan menurun daripada 4.1 peratus pada tahun 2021 kepada 3.7 peratus, atau kira-kira 187,800 orang pada tahun 2022.

Ia memberi implikasi bahawa walaupun graduan mendapat pekerjaan, mereka bekerja dalam jawatan yang tidak memerlukan tahap kemahiran atau kelayakan yang mereka miliki.

DOSM dijangka menerbitkan data mengenai graduan bagi tahun 2023 pada bulan hadapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS