Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Timb menteri kewangan cuti sakit lepas pembedahan
Diterbitkan:  Oct 11, 2024 9:37 AM
Dikemaskini: 1:37 AM

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, mengambil cuti sakit selama sembilan hari bermula Selasa lepas (8 Okt - 16 Okt) selepas menjalani pembedahan oleh pakar perubatan hospital kerajaan pada 4 Okt.

Pejabat Timbalan Menteri Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa keputusan untuk mengambil cuti sakit itu diambil berdasarkan nasihat doktor bagi memastikan beliau dapat kembali sihat dan sejahtera.

“Pada 4 Okt 2024, Timbalan Menteri Kewangan telah menjalani pembedahan dan kini sedang menjalani proses pemulihan di kediaman beliau.

“Pembedahan tersebut berjaya dilaksanakan oleh pakar-pakar perubatan hospital kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Timbalan Menteri Kewangan dimaklumkan akan pulih sepenuhnya dalam tempoh yang ditetapkan.

“Walaupun diberikan cuti sakit rasmi sehingga awal November, Timbalan Menteri Kewangan tetap komited untuk kembali bertugas pada 17 Okt 2024. Ini bertepatan dengan bermulanya Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-15 serta sesi pembentangan Belanjawan 2025,” menurut kenyataan itu.

Pejabat Timbalan Menteri Kewangan memaklumkan bahawa Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjong akan terus beroperasi seperti biasa.

Lim, yang juga merangkap Ahli Parlimen Tanjong, mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan doa yang diberikan.

“Timbalan Menteri Kewangan berharap dapat kembali bertugas dengan sihat dan penuh tenaga dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS