mk-logo
Berita
Tiba masa fokus kesihatan mental akibat kebimbangan iklim - pakar

Kemunculan matahari pagi dan langit cerah membiru selepas hujan berhari-hari, sudah cukup untuk menceriakan kebanyakan kita kerana dapat melakukan pelbagai aktiviti yang sebelum ini tertangguh.

Namun, lain pula kisahnya dengan Mariam (bukan nama sebenar), pelajar bidang pengajian alam sekitar di sebuah universiti tempatan.

Rasa bimbang melampau yang dialaminya sejak terperangkap dalam kejadian ribut petir dengan insiden pokok tumbang di tengah-tengah kota raya baru-baru ini, masih menyelubunginya.

Malah, dia juga mengalami perasaan sama ketika negara dilanda gelombang haba antara Mac dan Mei lalu. Sepanjang tempoh itu, kerap kali dia terjaga dari tidur pada waktu malam, bukan hanya disebabkan oleh bahang panas melampau tetapi juga kerisauan tentang perubahan iklim yang semakin buruk.

“Ada masa saya berasa seakan putus harapan apabila membaca berita tentang bumi kita yang semakin ‘sakit’, dan bencana alam berlaku di seluruh dunia akibat perbuatan manusia, dengan pencemaran udara, banjir kilat dan gelombang haba yang sebahagian besarnya berpunca daripada pembakaran terbuka dan penggunaan bahan api fosil.

“Malah, saya juga risau tentang kejadian lubang benam, risau kalau-kalau terjadi kepada saya,” kongsinya kepada Bernama, merujuk tragedi di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur pada Ogos lalu.

Menurut pakar, situasi yang dialami oleh Mariam itu dipanggil kebimbangan ekologi atau kebimbangan iklim, iaitu merujuk rasa tertekan disebabkan oleh perubahan iklim yang membuatkan seseorang begitu bimbang tentang masa depannya.

Gambar hiasan.

Menurut Dr Britt Wray, pakar daripada Intervensi berasaskan Komuniti bagi Ketahanan, Kepimpinan Iklim dan Kesejahteraan Emosi (CIRCLE) di Jabatan Psikiatri dan Sains Tingkah Laku, Fakulti Perubatan Stanford University, kebimbangan iklim merupakan tindak balas yang sihat terhadap kewujudan ancaman.

Justeru katanya, isu kesihatan itu tidak boleh diketepikan sebagai sekadar masalah biasa yang berpunca daripada terlampau berfikir.

"Kami boleh buktikan, orang yang bekerja di barisan depan dalam menangani isu perubahan iklim, bergelut dengan perasaan ini setiap hari.

"Rasa stres yang kita mungkin alami jika kita juga bekerja dalam bidang ini (perubahan iklim) adalah signifikan,” katanya semasa memberi syarahan bertajuk Leveraging Emotions: Eco-Anxiety, Planetary Health Action, and the Power in Feelings pada Sidang Kemuncak Kesihatan Planet 2024 dan sesi pleno Mesyuarat Tahunan keenam yang diadakan di Kuala Lumpur pada April lalu.

Berdasarkan data Google pada November 2023, carian berkaitan “climate anxiety” (kebimbangan iklim) atau “eco-anxiety” (kebimbangan ekologi) meningkat sebanyak 4,590 peratus dalam tempoh 2018 hingga 2023 dengan soalan paling banyak ditanya ialah “Apakah kebimbangan ekologi” dan “Bagaimana mahu menangani kebimbangan iklim?”

Mengulas lanjut, Dr Wray berkata kini semakin ramai yang sedar tentang krisis iklim dan mengalami kesan domino dari segi emosi mereka, sekali gus menyerlahkan keperluan terhadap sumber dan sokongan.

Tangani emosi kebimbangan iklim

Beliau mengesyorkan beberapa sumber bagi membantu menangani emosi yang bersangkut dengan iklim.

Satu daripadanya ialah membina hubungan.

“Ramai yang inginkan perbincangan mendalam dan lebih terbuka tentang topik itu dan membina komuniti bagi mencari penyelesaian.

“Ini kerana, kita selalunya memendam rasa dan berseorangan melayan emosi. Justeru, apabila ada perbincangan dan perkongsian pendapat tentang perasaan masing-masing berhubung kebimbangan ekologi, maka ini akan membantu dari segi memberi ketenangan, mengupayakan dan mencetuskan kreativiti mereka yang berkenaan,” katanya.

Selain itu, beliau juga mengesyorkan mereka yang mengalami masalah tersebut agar mendapatkan bantuan daripada ahli terapi yang cakna iklim.

“Satu lagi cara untuk mendepani emosi berkaitan iklim adalah dengan belajar daripada kisah orang lain, tentang bagaimana mereka mengintegrasikan perasaan-perasaan tersebut sebagai pengalaman hidup dan belajar daripada pengalaman itu,” katanya.

Malaysia tak sama

Dalam pada itu, pakar psikologi alam sekitar daripada Monash University Malaysia Dr Ooi Wee Liam berkata buat masa ini di Malaysia, kebimbangan ekologi belum lagi menjadi isu utama dalam kalangan rakyat.

“Ini kerana, perubahan iklim yang dialami oleh negara kita sekarang tidaklah seteruk di bahagian utara dunia.

“Sekalipun keadaan bertambah teruk dengan peningkatan kejadian gelombang haba dan pencemaran udara, rasa stres yang dialami lebih berkemungkinan berpunca daripada kebimbangan tidak mampu menambah baik situasi kehidupan mereka demi kesihatan diri sendiri, bukan kebimbangan iklim,” katanya dalam temu bual menerusi e-mel kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau turut meluahkan kebimbangan kemungkinan rasa tertekan akibat perubahan iklim akan meningkat dalam kalangan golongan rentan, berikutan keadaan cuaca yang semakin tidak menentu di negara ini sejak beberapa tahun lalu, termasuk fenomena gelombang haba yang semakin panas dan berlanjutan untuk satu tempoh yang lama.

“Saya rasa akan ada lebih ramai individu daripada kelompok yang tidak mampu menangani masalah bahang melampau dan pencemaran udara ini mengalami masalah kesihatan mental.

“Rasa tidak selesa yang ditanggung akibat hawa panas akan meningkatkan tahap stres, menjadikan mereka lebih cepat marah atau melenting ketika mengharungi gelombang haba,” jelasnya.

Pada 26 Mac lepas, hampir separuh kawasan Semenanjung Malaysia mengalami suhu tinggi sekurang-kurangnya 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, demikian menurut data Jabatan Meteorologi Malaysia.

Ketika itu, jabatan berkenaan meramalkan bahang panas tersebut akan berterusan hingga pertengahan April.

Ooi berkata beberapa kajian antarabangsa menunjukkan individu melaporkan kemerosotan tahap kesihatan mental termasuk stres, selepas ditimpa bencana alam seperti banjir.

“Ini juga bersangkut dengan PTSD (gangguan stres pascatrauma) kerana banjir dianggap sebagai insiden trauma (yang mempunyai kaitan dengan kerugian dari segi ekonomi dan kekhuatiran terhadap kehilangan nyawa dalam sekelip mata),” jelasnya.

Perlu lebih banyak data

Di peringkat global, hubungan di antara perubahan iklim dan kesihatan mental serta kesejahteraan psikososial dibincangkan dalam rangka kerja kesihatan bagi kecemasan dan pengurusan bencana, khususnya dalam situasi cuaca ekstrem.

Bagaimanapun menurut kajian oleh Program Pembangunan Dasar, Institut Masa Depan Malaysia, setakat ini belum ada kajian tentang bagaimana dasar boleh dimanfaatkan bagi memperkukuh keupayaan mental masyarakat dalam mendepani impak iklim.

Merujuk Dasar Perubahan Iklim Negara, kajian itu mendapati sekalipun dasar tersebut memperaku kesan perubahan iklim ke atas kesejahteraan manusia dan alam sekitar, tidak ada disebut secara khusus tentang kesihatan mental.

Bersetuju dengan dapatan itu, Ooi berkata hanya terdapat sebilangan kecil kajian tentang kesan perubahan iklim ke atas kesihatan mental di peringkat tempatan.

“Sehubungan itu, saya berpendapat sudah tiba masa untuk kita menumpukan pada aspek bagaimana bencana akibat perubahan iklim bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal tetapi juga mental kita,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS