Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'sia sambut baik cadangan pelaburan AS14.7 bilion syarikat teknologi AS

Malaysia menyambut baik cadangan pelaburan berjumlah AS$14.7 bilion (AS$1=RM4.29) oleh syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) -- Google, Microsoft, Enovix Corporation, Amazon Web Services, Abbott Laboratories dan Boeing.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pertemuan dua hala dengan Setiausaha Negara AS Antony Blinken di luar Sidang Kemuncak Asean ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan di Vientiane semalam.

Anwar berkata Malaysia turut berharap untuk mengukuhkan kerjasama dengan AS dalam industri baharu.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri mengalu-alukan delegasi AS ke sesi Dialog Pegawai-Pegawai Kanan yang seterusnya di Putrajaya pada akhir Oktober ketika kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-10 Perkongsian Komprehensif Malaysia-AS.

“Malaysia menghargai peranan utama AS dalam Resolusi 2735 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan menggesa AS menggunakan pengaruhnya untuk melaksanakan resolusi itu dengan pantas,” katanya.

Resolusi 2728, yang diluluskan pada 10 Jun 2024 menuntut kepada gencatan senjata segera bagi semua konflik di Gaza.

Sementara itu, Jabatan Negara AS dalam kenyataan mengenai mesyuarat itu berkata, Blinken menekankan sokongan AS terhadap Malaysia sebagai Pengerusi Aseanyang akan datang dan membincangkan peluang meningkatkan kerjasama untuk mendorong kestabilan serantau dalam menyokong negara yang bebas, terbuka, selamat, berdaya tahan dan rantau Indo-Pasifik yang makmur.

“Blinken dan Perdana Menteri (Anwar) menekankan kepentingan Perkongsian Komprehensif AS-Malaysia pada ulang tahun ke-10 dan komitmen untuk memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat, ekonomi dan keselamatan,” menurut kenyataan yang disiarkan di laman web jabatan itu.

Menurut kenyataan itu, Blinken dan Anwar turut menekankan keperluan yang kritikal terhadap gencatan senjata, membebaskan semua tebusan, dan kemasukan segera banyak bantuan kemanusiaan dan bermulanya usaha pembinaan semula di Gaza.

Anwar dan Blinken kemudiannya menghadiri majlis makan malam gala yang dihoskan oleh Pengerusi Aseaniaitu Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone dan isteri Vandara Siphandone bersempena dengan sidang kemuncak itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS