Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Siasatan sindiket visa perubatan bukti komitmen kerajaan tangani isu tatakelola'

Siasatan terhadap dakwaan sindiket visa perubatan melibatkan warga asing disifatkan sebagai bukti komitmen kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam menangani masalah tatakelola yang dilihat selama ini adalah merupakan punca utama yang mengganggu agenda negara untuk terus maju ke hadapan.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, dia percaya kegiatan yang didakwa ini bukan hanya baru terjadi dalam tempoh setahun dua tetapi sudah lama berakar dan sukar untuk dibanteras sepenuhnya dalam masa yang singkat.

"Kita memandang serius dan berasa kecewa dengan amalan dan kegiatan tidak bertanggungjawab oleh segelintir pihak yang masih berlaku dalam badan dan agensi kerajaan.

"Namun pendedahan terbaru ini jelas menunjukkan agensi penguat kuasa sedang giat menjalankan operasi pembersihan, selaras dengan hasrat kerajaan Madani.

"Ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan di bawah PMX (perdana menteri ke-10) untuk menangani masalah tatakelola dan pengurusan yang dilihat selama ini adalah merupakan punca utama yang mengganggu agenda kita untuk terus bergerak maju ke hadapan," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan beberapa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang disiasat selepas disyaki terlibat dalam sindiket visa perubatan melibatkan warga asing.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesahkan mereka sedang menyiasat dakwaan sindiket visa perubatan melibatkan JIM.

EAIC turut mengesahkan penyitaan ke atas 156 fail permohonan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan) selaras dengan seksyen 41 Akta 700, manakala JIM pula memberi jaminan untuk tidak berkompromi terhadap sebarang pegawainya yang terlibat dalam sindiket tersebut.

Mengulas lanjut Muhammad Kamil berkata, usaha membanteras gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu terus dipergiat dan disambut oleh ketua-ketua jabatan agar kita dapat memastikan tadbir urus yang lebih cekap dan beramanah.

Tegasnya, dengan pendedahan dakwaan kegiatan sindiket visa perubatan ini, pihaknya yakin dan percaya hasil siasatan akan membawa kepada penemuan yang lebih kritikal dan mengenal pasti dalang yang terlibat serta seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Jelas tindakan khianat begini tidak seharusnya diberi ruang apatah lagi ianya berlaku dalam agensi penting yang mengawal kemasukan warga asing ke negara kita," katanya yang juga setiausaha politik kepada menteri kewangan.

Dalam perkembangan sama Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menggesa agar pihak berkuasa menjalankan operasi khas untuk mengesan pihak yang terlibat termasuk warga asing yang menyalahgunakan visa kemudahan visa perubatan.

"Dengan pelaksanaan operasi khas ini, kita dapat menghantar mesej yang jelas bahawa Malaysia serius dalam menangani penyalahgunaan visa, dan kita tidak akan berkompromi dengan keselamatan dan integriti negara.

"Isu ini amat membimbangkan kerana ia mencerminkan kelemahan dalam sistem kawalan dan penguatkuasaan visa di negara kita. Sindiket ini bukan sahaja boleh merosakkan imej negara di mata dunia, tetapi juga boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

"Jika ia berlaku melibatkan integriti penjawat awam sewajarnya pihak berkuasa mengambil tindakan yang setimpal agar ia tidak terus menular dan menjejaskan nama baik perkhidmatan awam," katanya yang juga Adun Nenggiri.

Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda berkata, pendedahan berkaitan kes berkenaan amat mengejutkan namun dia yakin akan ditangani dengan siasatan sebaik mungkin oleh EAIC.

"Ya, ia perlukan siasatan menyeluruh kerana (terdapat) beberapa kes berulang melibatkan Jabatan Imigresen," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS