Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PN: Sambutan kapal tentera China di Pulau Pinang di luar kebiasaan
Diterbitkan:  Oct 10, 2024 6:21 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Sambutan kerajaan Pulau Pinang untuk kelasi dan kadet Kapal Tentera Laut Republik Rakyat China (RRC) baru-baru ini merupakan sesuatu yang di luar norma kebiasaan, kata bekas timbalan menteri pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Menurutnya, dua kapal besar People’s Liberation Army Navy (PLAN) Task Group 83 itu melaksanakan ‘port-call’ secara bersama, walaupun tiada keperluan logistik berbuat demikian di Pulau Pinang.

"Tiada keperluan logistik untuk mereka melaksanakan ‘port-call’ ini di Pulau Pinang, mengambil kira kesiagaan beberapa pelabuhan PLAN yang dibina secara haram di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan yang mampu menyokong keperluan logistik atau ‘replenishment’ dua buah kapal ini.

"Sambutan luar biasa dari kerajaan negeri Pulau Pinang kepada kelasi dan kadet Tentera Laut RRC yang sebelum ini jarang-jarang melaksanakan aktiviti ‘port-call’ di pelabuhan awam di Malaysia, apatah lagi aktiviti ‘port call’ oleh Task Group 83 ini tidak dibuat sempena pelaksanaan eksesais dengan ATM atau TLDM," katanya dalam kenyataan.

Ikmal berkata meskipun aktiviti ‘port-call’ oleh tentera laut asing di Malaysia adalah amalan biasa, namun aktiviti yang dilakukan oleh Kapal Qi Jiguang dan Kapal Jinggang Shan itu adalah luar biasa.

"Saya berpandangan kerajaan negeri Pulau Pinang perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia apakah rasional sambutan luar biasa yang diberikan kepada kelasi dan kadet Tentera Laut RRC tersebut.

"Saya juga sangat musykil akan pemilihan pelabuhan Pulau Pinang oleh Task Group 83 dari RRC ini sebagai pelabuhan persinggahan berbanding pelabuhan lain di Malaysia seperti di Pelabuhan Klang ataupun Pelabuhan Langkawi,” kata Ikmal yang juga ahli parlimen Tanah Merah.

Tambah Ikmal, sambutan luar biasa oleh kerajaan Pulau Pinang menghantar mesej yang salah kepada rakyat Malaysia serta tidak sensitif terhadap isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

"Ini mengambil kira PLAN China ini secara 24 jam meletakkan aset kapal tentera laut mereka dengan disokong oleh pasukan pengawal pantai RRC di kawasan Beting Patinggi Ali dalam usaha mereka menuntut wilayah berkenaan sebagai wilayah laut RRC," katanya.

Terdahulu, media melaporkan program sambutan luar biasa kerajaan negeri Pulau Pinang untuk kelasi dan kadet kapal Tentera Laut RRC sewaktu mereka melaksanakan aktiviti ‘port-call’ di Jeti Swettenham, George Town, Pulau Pinang.

Dilaporkan Speaker DUN Pulau Pinang, Law Choo Kiang menerima kunjungan hormat daripada dua komander kapal berkenaan, selain kelasi dan kadet Tentera Laut RRC turut melawat sekolah swasta Chung Ling High.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS