Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nahas pelajar UiTM Dungun: Ibu bapa Ku Abid Aizad patah balik dari Makkah

Ibu bapa kepada seorang daripada tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun yang maut akibat kemalangan malam semalam, kini dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas berpatah balik dari Makkah untuk menunaikan umrah.

Hafizah Iszahanid yang juga Penolong Pengarang Berita BH dan Ku Azmi Saad dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini selepas berpatah balik dari Makkah apabila mengetahui kejadian yang menimpa anak sulung mereka, Ku Adib Aizad, 20.

Sepupu Hafizah, Muhammad Farid Zukri Nadzaruddin, 29, berkata kakak sepupunya itu dan suami mengetahui tentang kejadian tersebut setelah sampai di Makkah kira-kira 2.30 pagi tadi (waktu Malaysia).

“Mereka mengetahuinya setelah diberitahu ahli keluarga di Sungai Buloh, Selangor. Kalau tidak silap saya ahli keluarga menyampaikan berita itu melalui kiriman WhatsApp, jadi mungkin mereka tahu selepas menghidupkan telefon bimbit sebaik mendarat di Makkah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dilapor ketika kejadian berlaku Hafizah bersama suaminya Ku Azmi yang merupakan kakitangan Print Tower Sdn Bhd (PTSB), sebuah syarikat di bawah The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), dalam penerbangan ke Makkah untuk menunaikan umrah menerusi Program Umrah dan Ziarah 2024, Media Prima Bhd melibatkan 127 peserta daripada kalangan petugas dan ahli keluarga.

Dalam pada itu, Muhammad Farid Zukri berkata beliau diamanahkan oleh ahli keluarga untuk menguruskan jenazah Ku Adib Aizad di Dungun termasuk melakukan pengecaman mayat memandangkan ketika itu beliau sedang dalam perjalanan pulang dari Terengganu.

“Kebetulan ketika saya dapat tahu mengenai kejadian sekitar 9 malam tadi, saya berada di Gambang (di Kuantan, Pahang) dan sedang dalam perjalanan pulang ke Tapah, Perak selepas selesai urusan di Terengganu. Oleh kerana saya berada di lokasi yang paling dekat dengan Terengganu, jadi ahli keluarga minta saya menguruskan jenazah di sini (Dungun),” katanya.

Berkongsi detik pilu ketika melakukan pengecaman mayat Ku Adib Aizad, Muhammad Farid Zukri berkata beliau tidak dapat menahan rasa sedih dan sebak kerana mengenangkan Allahyarham seorang yang ceria dan disenangi oleh orang sekeliling.

“Arwah seorang yang ceria, dia juga sangat istimewa bagi keluarga Hafizah kerana merupakan anak dan cucu yang sulung,” katanya sambil memaklumkan jenazah Ku Adib Aizad dijangka dikebumikan selepas Asar ini di Tanah Perkuburan Islam Saujana Utama, Sungai Buloh.

Terdahulu, jenazah Ku Adib Aizad dan dua lagi mangsa, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, selesai disolatkan pada 10.34 pagi tadi di Masjid UiTM Kampus Dungun sebelum dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing.

Dalam kejadian pada 7.35 malam semalam, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun itu yang menunggang dan membonceng motosikal maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera selepas dirempuh kereta Honda CRV dipandu seorang wanita berhadapan kampus tersebut.

Wanita berusia 49 tahun dan berasal dari Kampung Sura Tengah itu dipercayai menunjukkan tanda-tanda masalah mental dan telah direman empat hari bermula hari ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS