Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Konsep subsidi boleh ditutup dari agenda Madani

ULASAN | Menteri Pertanian Mohamad Sabu dan Kementerian Keterjaminan Makanan, pada 9 Oktober 2024, di Perhimpunan Bulanan kementerian itu, telah membuat dua kenyataan penting:

i. Membayangkan 'subsidi' telur Gred A, B dan C akan dikaji semula untuk ditamatkan; dan

ii. Menegaskan bidang kuasa tiga badan yang mengawal selia industri padi dan beras negara iaitu Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam Padiberas Nasional Bhd (Bernas) akan diasingkan.

Jelas beliau, usaha kedua itu bertujuan mengatasi isu ketiadaan beras putih di pasaran tempatan, sekali gus menjamin kebajikan 230,000 pesawah di negara ini.

Merujuk isu telur, jika subsidi telur hendak dihapuskan bagi menjimatkan duit kerajaan sebanyak RM100 juta, jadi apa lagi bantuan kerajaan yang tinggal untuk rakyat? Yang pasti tiada apa lagi yang tinggal, konsep 'subsidi' boleh ditutup dari agenda murni kerajaan Madani buat selamanya.

Ketiadaan subsidi pastinya akan meningkatkan lagi harga telur di pasaran. Pastinya mereka yang terjejas adalah golongan berpendapatan rendah seperti B40, pelajar, buruh, warga emas dan pesara kerana pendapatan rendah, berkurangan atau kehilangan pendapatan kerana kehilangan upaya.

Harga purata sepapan telur ayam gred A yang ditetapkan adalah RM12.61/30 @ RM0.42 sen sebiji manakala telur ayam kampung RM7.12/10 @ RM0.71 sen sebiji. Namun hakikatnya, telur ayam kampung dijual pada harga RM0.83 sen sebiji @ RM25/30 sepapan adalah bukti harga telur sudah pun meningkat sebanyak 17% sebelum subsidi ditamatkan.

Kini orang ramai mula memilih membeli telur di kaki lima; misalnya di Bukit Jelutong, Shah Alam; dengan bekalan mereka diperoleh terus dari Johor dan Melaka. Harganya lebih murah berbanding jika dibeli di pasar raya atau mini market.

Kalau makan telur separuh masak di restoran mamak pula harganya RM1.50 sen sebiji. Lepas ini, tanpa subsidi, orang ramai kena rajin-rajinlah masak telur di rumah kerana harganya akan bertambah mahal. Ini belum termasuk harga makanan seperti roti canai dan kuih-muih yang mana telur antara bahan utama.

Kebanyakan orang tahu khasiat telur sebagai sumber protein untuk kesihatan dan mencegah penyakit yang elok dimakan setiap hari.

Ramai orang berkata, selepas Menteri KPKM melawat industri telur ayam di India dan Perdana Menteri melawat Pakistan untuk menarik pelaburan, rupanya subsidi telur yang akan ditarik balik bagi menampung kos sektor lainnya. Ini menimbulkan persoalan mengapa industri ternakan ayam telur masih belum menjadi.

Isu beras tempatan

Merujuk isu padi dan beras pula, selain usaha memperkemas tatakelola, pihak kerajaan perlu serius dalam usaha untuk merombak cengkaman puak kroni dan kartel yang selama ini diketahui dan disedari, tetapi masih belum dapat berbuat apa-apa secara efektif.

Dalam hal ini, rakyat jelata sudah tidak sabar menunggu kemunculan semula beras tempatan yang hilang tidak muncul entah ke mana sejak September 2023. Jika rakyat berpendapatan rendah biasa membeli beras tempatan dengan harga RM13.00/5 kg pada tahun 2021, kini mereka membeli beras tempatan bercampur beras import atau Beras Madani dengan harga antara RM15.50/5 kg.

Kesungguhan pihak kementerian bagi menyelesaikan kedua-dua isu di atas memerlukan kajian mendalam melalui kerjasama dan libat urus dengan ramai pihak terutamanya NGO dan komuniti setempat dalam memberikan maklumat dan maklum balas.

Dalam situasi kos sara hidup yang semakin meningkat, pihak kerajaan perlu sensitif dan prihatin akan permasalahan rakyat keseluruhannya yang mana kewajaran subsidi RM100 juta itu adalah lebih afdal dikekalkan untuk rakyat.

Jika tidak, rakyat akan membandingkan pengecualian cukai sebanyak RM83 juta yang diberikan kepada Universiti Tunku Abdul Rahman, suatu kelompok tertentu sahaja, adalah suatu kerja gila, politik diri lebih penting dan tak masuk akal.

Tinggalkanlah tabiat buruk lama umpama pepatah Melayu menyatakan "bagai ayam bertelur riuhnya sekampung", kini pula "Bagai subsidi telur nak dimansuhkan, riuhnya satu negara" kerana hampir semua orang setiap hari makan telur.

Tinggalkanlah juga tabiat buruk dan tatakelola lama yang umpama harapkan pagar, pagar makan padi yang masih wujud tanpa pembendungan rapi hingga merosakkan keterjaminan makanan utama.


ASMAWAR SAMAT merupakan naib presiden 1 Parti Putra merangkap pengerusi kos sara hidup dan membasmi kemiskinan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS