Seorang pemimpin Bersatu mendakwa Muhyiddin Yassin "amat sedih dan kecewa" kerana beberapa ahli majlis tertinggi tidak menuruti “petua” presiden parti dan cuba menjejaskan "pelan kompromi" yang dipersetujui sebelum ini.
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad mempersoalkan mengapa mereka berbuat demikian walaupun bersetuju dengan rancangan itu, menyifatkan ia tidak bertanggungjawab.
“Ini tindakan tidak bertanggungjawab kerana keputusan telah dibuat secara kolektif. Bagi yang mencabar (jawatan naib presiden) tetapi tidak berada dalam pimpinan, saya rasa boleh diterima.
“Tetapi, mereka (ahli MPT) yang menawarkan diri sebagai calon naib presiden yang telah pun bersetuju dari awal menyerahkan mandat ini kepada presiden, akhirnya mereka juga yang bertanding.
"Bila berlaku pertandingan sebegini, ia menimbulkan tanda tanya apakah mandat presiden ini sebenarnya tidak perlu dituruti," katanya seperti dilapor FMT.
Bersatu dijadual mengadakan pemilihan partinya bulan depan. Bagaimanapun, pada 13 Julai, pemimpin tertinggi Bersatu membuat perjanjian mengenai barisan lima teratasnya yang seterusnya untuk memastikan perpaduan menjelang pemilihan parti.
Berdasarkan cadangan yang diajukan, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin akan menjadi timbalan presiden parti, yang kini dipegang oleh Ahmad Faizal Azumu.
Faizal akan menawarkan dirinya untuk mengisi salah satu daripada tiga jawatan naib presiden parti itu, yang telah dibiarkan kosong selepas penyandangnya Mohd Rafiq Naizamohidden keluar dari Bersatu pada 2022.
Dua penyandang naib presiden - Mohd Radzi Md Jidin dan Ronald Kiandee - juga akan mempertahankan jawatan mereka dalam pemilihan parti akan datang.
Bagi Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Azmin Ali, Muhyiddin berkata dia akan menjadi setiausaha agung parti.
Selepas pencalonan dimuktamadkan minggu lalu, Muhyiddin dan Hamzah menang tanpa bertanding seperti dirancang.
Namun, daripada tiga yang dicadangkan daripada “pelan kompromi” itu, terdapat tiga lagi calon yang akan merebut jawatan naib presiden iaitu Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah, Ketua Penerangan Razali Idris dan Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin.
Awal hari ini, Utusan Malaysia melaporkan Faizal mengakui wujudnya fahaman berpuak-puak dalam parti itu kerana segelintir ahli seolah-olah menyelaraskan diri dengan pemimpin tertentu untuk melindungi survival politik mereka sendiri.
Wan Fayhsal berkata situasi semasa telah meletakkan Muhyiddin dalam kedudukan yang sukar, memberi gambaran buruk terhadap imej Bersatu dan bekas perdana menteri itu.
Ahli Parlimen Machang itu kemudian berkata bahawa Ahli Majlis Tertinggi yang bersaing untuk jawatan naib presiden masih boleh menarik balik pencalonan mereka sebelum pemilihan parti pada 2 Nov untuk menunjukkan komitmen mereka terhadap rancangan Muhyiddin.
Memetik pemimpin muda dalam parti sebagai contoh, Wan Fayhsal berkata Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan dirinya pada mulanya merancang untuk bertanding jawatan naib presiden.
Bagaimanapun, mereka berundur mengikut arahan Muhyiddin.
Wan Fayhsal menegaskan bahawa proses demokrasi pemilihan parti tetap diteruskan walaupun dengan rancangan Muhyiddin.
“Demokrasi masih subur, pertandingan masih wujud, tetapi lebih tersusun, lebih terpandu dengan petua dan nasihat ditunjukkan presiden," katanya.