Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyokong tuntutan supaya diberi peruntukan 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.
Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz, berkata sebagai penyelesaian kepada tuntutan itu, 35 peratus wajar diberikan dalam kerusi Dewan Negara.
"Bagi @bersihofficial sebagai langkah penyelesaian 35% wajar diberikan dalam kerusi Dewan Negara dengan nota kaki perlu untuk diberikan empowerment kepada Dewan Negara.
"Jika tidak ia akan memburukkan lagi pembahagian undi tidak sekata atau malapportionment dan akan menghakis prinsip demokrasi apabila nilai undi berbeza-beza," katanya dalam satu ciapan di aplikasi X.
Pada 5 Okt lalu, media melaporkan usaha menuntut kuota 35 peratus ataupun satu pertiga daripada keseluruhan bilangan kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah bukan perkara baru.
Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Alexander Nanta Linggi berkata, semua pihak juga telah mengetahui apa keperluannya dari sudut Sabah dan Sarawak.
"Memang perkara ini telah dinyatakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg. Jadi perkara ini bukan perkara baru malah Sabah pun sependapat dengan Premier Sarawak dalam perkara ini dan banyak perbincangan sudah.
"Semua pihak sudah tahu apa sebenarnya keperluan ini kerana dari sudut Sarawak dan Sabah ini sebagai satu hak mereka dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.
Sementara itu, Faisal memaklumkan yang Bersih menganjurkan forum bagi membincangkan isu berkenaan.
"Apa pun kami amat hargai keterbukaan pimpinan parti dan kerajaan Sarawak untuk bincang perkara ini terutama atas kehadiran Timbalan Speaker Idris Buang, Senator Robert Lau, Jordan Soo serta kehadiran Juanda Jaya," katanya.