Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Digelar 'rimau' - Teresa Kok terima kasih Takiyuddin

Teresa Kok secara menyindir menyampaikan rasa terima kasih kepada Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan kerana mempercayai kebolehannya yang diibaratkan seperti seekor harimau.

"Saya juga ingin percaya bahawa saya seekor harimau," kata Naib Pengerusi DAP itu kepada Malaysiakini.

"Saya juga ingin percaya, rakyat yang mengundi saya melakukannya kerana mereka mahu 'harimau' mewakili mereka di dalam dan luar parlimen," tambahnya.

Enggan membahas lanjut kenyataan Takiyuddin, Ahli Parlimen Seputeh itu menegaskan dia sentiasa mempertahankan kepentingan negara dan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

"Tidak seperti PAS, saya tidak menimbulkan perpecahan demi keuntungan politik.

"Saya tidak menghabiskan setiap masa berbicara mengenai kaum dan kepercayaan saya, atau berangan tentang ancaman yang direka-reka terhadap kaum lain dan bagaimana untuk mengambil kesempatan daripadanya," katanya lagi.

Kok mengulas Takiyuddin yang mengaitkan namanya ketika membidas ahli akademik, Tajuddin Mohd Rasdi, yang menyifatkan Ketua Pemuda Umno Akmal Salleh sebagai "anak kucing" manakala PAS diibaratkan seperti harimau yang "mengancam" negara dengan pendekatan politik mereka.

Menggunakan logik "anak kucing-harimau", Takiyuddin mendakwa Kok, yang bergeser dengan Akmal mengenai isu pensijilan halal mempunyai potensi lebih besar menjadi 'harimau' (ancaman) berbanding Akmal dan PAS.

Nik Aziz sambut hari lahir di ‘sarang harimau’

Kok turut mengingatkan perumpamaan 'harimau' bukanlah sesuatu yang asing dalam DAP malah pemimpin PAS sendiri pernah rapat dengan mereka pada masa lalu.

Gambar fail.

Merujuk kepada bekas Pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh, Kok berkata: "Beliau digelar 'Harimau Jelutong' oleh rakyat kerana keberaniannya dalam mewakili mereka. Ini legasi kami."

"Apakah Takiyuddin ingat ketika Allahyarham Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat, memilih untuk menyambut hari lahirnya di rumah Karpal pada tahun 2013?

"Adakah Nik Aziz akan memasuki 'sarang harimau' jika beliau menganggap DAP dan pemimpinnya sebagai ancaman kepada Islam dan orang Melayu," soal Kok.

Menyifatkan naratif itu sebagai "plot lama", Kok meminta PAS dan Takiyuddin agar tidak menggunakan DAP sebagai alasan atau mengada-adakan ancaman untuk menutup kelemahan dalam menangani isu-isu yang lebih penting.

"Sama seperti nasihat yang diberikan kepada ahli akademik itu, saya juga ingin memberikan nasihat yang tidak diminta kepada anda.

"Tolong jangan alihkan fokus daripada isu-isu mendesak yang memberi kesan kepada rakyat dengan mengaitkan pihak lain. Ini tindakan yang dangkal," tambahnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS