Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apa yang sensitif sangat bila kapal China berlabuh - Ramasamy 
Diterbitkan:  Oct 10, 2024 2:01 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Walaupun kini berbeza pendirian politik, bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy tampil membela kunjungan pelatih tentera China di negeri itu Sabtu lalu.

Mempersoalkan “apa yang sensitif sangat?”, Ramasamy berkata tiada apa perlu dibimbangi kerana ia mendapat kebenaran Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan, selain amalan biasa.

Bekas pemimpin kanan DAP yang keluar parti itu berkata demikian ketika mengulas bantahan pemimpin Bersatu Saifuddin Abdullah terhadap sambutan meriah terhadap rombongan itu, ketika kapal China masih menceroboh di Laut China Selatan.

“Saya tidak pasti apa ‘sensitiviti awam’ yang dimaksudkan Saifuddin.

“Sebaliknya, lagi banyak kapal asing melawat pelabuhan kita, lebih baik untuk mengeratkan hubungan antarabangsa,” katanya.

Pembangkang hari ini mempersoal sambutan meriah dan “luar biasa” terhadap rombongan pelatih tentera China di sebuah sekolah di Pulau Pinang, Sabtu lepas.

Bersatu dan PAS menyatakan bantahan ketika perairan Malaysia masih dicerobohi kapal China, susulan pertindihan tuntutan di Laut China Selatan.

Bukan perkara baru

Dalam kenyataan hari ini, Ramasamy berkata dia sendiri ketika memimpin kerajaan negeri menerima kunjungan kapal tentera China dan India.

Selain itu, katanya, kunjungan kapal negara lain, termasuk Amerika Syarikat (AS), ke pelabuhan-pelabuhan lain di Malaysia juga bukan perkara baru.

“Pelik kenapa tiba-tiba pembangkang membangkitkan isu kapal China.

“Adakah kerana kehadirannya dilihat lebih sensitif berbanding negara lain seperti India atau AS,” soal pemimpin parti Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) itu.

Antara persembahan kebudayaan di sekolah yang dikunjungi pelatih tentera China

Sementara itu, mengulas pertikaian wilayah antara China dan Malaysia, Ramasamy berakata, ia tidak seharusnya menghalang kita mempertahankan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Pulau Pinang semalam menjelaskan kunjungan silaturahim dua kapal latihan dari China bersama pelajar universiti tentera laut China di ke pelabuhan negeri itu mengikut saluran rasmi.

Exco pelancongan Wong Hon Wai berkata Pegawai Residen Tentera Malaysia di Pulau Pinang turut hadir dalam kunjungan kapal pelatih Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) itu bersama pemimpin kerajaan negeri sebagai tetamu.

Perlawanan ping pong persahabatan

Kunjungan ke Sekolah Menengah (Persendirian) Chung Ling pula, katanya, atas hubungan pelajar ke pelajar termasuk mengadakan aktiviti bersukan dan kebudayaan.

Sabtu lepas, kerajaan negeri mengumumkan kedatangan 1,000 pelatih tentera laut China ke negeri itu menaiki Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal Jinggang Shan dari Zhanjiang.

Pasukan tugas ke-83 PLA dan pelatihnya dibawa melawat beberapa tempat menarik di Pulau Pinang dan turut berkesempatan berinteraksi dengan penduduk tempatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS