Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU Mufti rendahkan kedudukan Agong, kata Latheefa Koya
Diterbitkan:  Oct 10, 2024 11:54 AM
Dikemaskini: 5:19 AM

Peguam hak asasi Latheefa Koya mendakwa Rang Undang-undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan akan mengurangkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan.

Katanya, Fasal 4(1) RUU tersebut menjadikan mufti sebagai pihak “paling berkuasa” dalam hal-hal undang-undang Islam di Wilayah Persekutuan, selain Seri Paduka.

“Ini merendahkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam di Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 3(5) dan 34(1) Perlembagaan Persekutuan. 

“Tidak boleh ada dua pihak ‘paling berkuasa’ dalam hal-hal Islam di Wilayah Persekutuan,” katanya yang juga bekas ketua pesuruhjaya SPRM.

Katanya, mengikut undang-undang baru ini, mufti melalui pengeluaran fatwa yang mengikat, boleh mengganggu kehidupan seharian umat Islam dan hak mereka untuk mengamalkan agama mengikut al-Quran dan Hadis. 

“Mufti dilantik atas nasihat menteri, dan oleh itu kerajaan persekutuan akan memperolehi kuasa yang luas ke atas setiap aspek amalan agama umat Islam di negara ini sebaik sahaja RUU itu diluluskan.

“Ini bukanlah peranan yang diharapkan untuk kerajaan persekutuan di bawah Perlembagaan kita.

“Ia bertentangan dengan struktur asas Perlembagaan dan dengan itu tidak berperlembagaan,” kata Latheefa yang juga bekas ketua pesuruhjaya SPRM.

Dia juga menyifatkan RUU itu akan mewujudkan mekanisme kawalan yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila setiap fatwa secara automatik mengikat semua umat Islam, tanpa pengecualian atau kelonggaran.

Sedangkan, katanya, Seksyen 34(3) dalam Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 menyebut terdapat pengecualian bagi amalan, kepercayaan atau pendapat peribadi.

“Fatwa mufti bawah rang undang-undang yang dicadangkan ini adalah mutlak dan tidak boleh diubah,” katanya.

[Baca pandangan penuh Latheefa]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS