Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mangsa banjir di Kedah, Perlis terus meningkat pagi ini
Diterbitkan:  Oct 10, 2024 10:07 AM
Dikemaskini: 2:15 AM

Jumlah mangsa banjir di Kedah dan Perlis mencatatkan peningkatan pada pagi ini, manakala di Johor dan Perak menunjukkan sedikit penurunan.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,503 orang daripada 1,141 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 2,771 orang daripada 924 keluarga malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam kenyataannya memaklumkan bahawa semua mangsa ditempatkan di 23 pusat pemindahan sementara (PPS) yang melibatkan daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, dan Pendang.

Daerah Kubang Pasu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,324 orang daripada 459 keluarga di sembilan PPS, diikuti Kota Setar iaitu 1,197 orang daripada 373 keluarga di lapan PPS, Pokok Sena melibatkan 549 orang daripada 195 keluarga di empat PPS dan Pendang merekodkan 433 orang daripada 114 keluarga di dua PPS.

Di PERLIS, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 773 orang daripada 245 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 696 mangsa daripada 208 keluarga pada sebelah malam tadi.

Pengarah APM Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata kesemua mangsa kini berada di enam pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, SK Bintong dan Kolej Vokasional Kangar di Kangar serta SK Kubang Gajah, SK Guar Nangka dan SK Arau di Arau.

"Antara kampung terjejas banjir ini ialah Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau, Kampung Belanga Pudak, Kampung Repoh di Kangar manakala Kampung Kubang Gajah, Kampung Gial, Kampung Banggol Sena, Kampung Banat dan Kampung Behor Gelam di Arau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, di JOHOR, jumlah mangsa menurun kepada 111 orang daripada 30 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 150 mangsa daripada 42 keluarga pada malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata kesemua mangsa masih ditempatkan di empat PPS di tiga daerah terjejas akibat bencana itu.

“Dua PPS yang masih dibuka di Pontian adalah SK Seri Anom dan SK Parit Markom manakala masing-masing satu di SK Sungai Linau, Kluang serta SK Seri Bunut di Batu Pahat,” katanya dalam kenyataan dan turut memaklumkan Sungai Sembrong di Parit Batu 2 Sembrong, Batu Pahat berada pada paras amaran.

Di PERAK, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini menurun sedikit kepada 136 orang daripada 40 keluarga berbanding 137 orang daripada 40 keluarga di dua PPS di daerah Kerian, malam tadi.

“Seramai 71 orang daripada 20 keluarga berlindung di PPS SK Changkat Lobak, manakala di PPS SK Parit Haji Aman, Bagan Serai menempatkan 65 orang daripada 20 keluarga," menurut sekretariat itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS