Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hormati gesaan Zahid henti usik PH, kata Wan Rosdy

Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail menyokong penuh gesaan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi agar keteganga antara pimpinan parti dalam kerajaan tidak dipanjangkan.

Menyifatkan saranan dan teguran Ahmad Zahid itu sebagai memadai, Wan Rosdy yang juga menteri besar Pahang turut setuju dengan apa yang diputuskan kepimpinan tinggi Umno dalam hal berkenaan.

"Saya menyokong cadangan, saranan dan teguran yang dibuat oleh presiden.

"Presiden sudah buat keputusan... cukuplah, saya mana boleh lebih daripada presiden. Saya setuju dengan apa yang presiden tegur," katanya ketika ditemui selepas majlis Retreat Bersama Pimpinan Masyarakat Orang Asli Pahang di Kuantan, semalam.

Wan Rosdy berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan segelintir pemimpin Umno yang dilihat “mengusik” parti dalam PH.

Semalam, Ahmad Zahid berkata dia enggan memanjangkan ketegangan antara pemimpin parti-parti kerajaan.

Zahid juga berkata PH tidak perlu membuat sebarang permohonan maaf kepada Umno dan dia juga meminta pemimpin Umno menghentikan serangan.

“Kita mesti menghormati antara satu sama lain. Yang penting kita mesti mengekalkan keadaan dan situasi perpaduan kerajaan sekarang ini,” katanya.

Nur Jazlan Mohamed

Ia selepas anggota Majlis Tertinggi Umno Nur Jazlan Mohamed menggesa PH memohon maaf kerana berdekad-dekad memberi gambaran buruk kepada partinya.

Nur Jazlan kemudian berkata dia akur dengan arahan Zahid dan sedia menghentikan serangannya terhadap PH.

Sementara itu, Wan Rosdy turut diminta mengulas dakwaan Adun Sungai Lembing Mohamad Ayub Mat Ashri berkenaan berlaku kegiatan “penghapusan hutan” di Sungai Lembing.

Menurut Wan Rosdy, dakwaan itu akan dijawab oleh setiausaha Kerajaan Pahang atau pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

"Saya fikir dalam masa terdekat Setiausaha Kerajaan Pahang atau Pengarah Perhutanan akan buat kenyataan.

"Kita ada bincang tadi dalam mesyuarat exco," ujarnya.

Terdahulu, Mohamad Ayub mendakwa pihaknya menerima surat edaran daripada agensi penguatkuasaan berhubung kegiatan itu pada 27 Sept lalu.

Surat itu antara lain menyatakan terdapat aktiviti penebangan dan pembersihan hutan yang dikhuatiri dilakukan tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS