Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kanak-kanak perempuan hilang ketika ambil makanan di kereta

Seorang kanak-kanak perempuan warga tempatan berumur 12 tahun dilaporkan hilang selepas turun mengambil makanan daripada kereta yang diparkir di bawah kediamannya di sebuah flat di Bandar Bukit Tinggi 1 di Klang, Selangor petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 8.59 malam semalam.

Cha berkata siasatan awal mendapati kanak-kanak itu turun ke tempat parkir selepas disuruh ibunya untuk mengambil makanan dalam kereta sekitar 2.20 petang.

“Kanak-kanak tersebut turun seorang diri dan tidak kembali ke rumah. Pada jam tiga petang, ibu mangsa bertindak mencari kanak-kanak itu bagaimanapun tidak menemuinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Cha berkata ibu mangsa telah membuat laporan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan membuka satu kertas inkuiri polis orang hilang bagi siasatan lanjut.

Dia berkata kanak-kanak bernama Madrafataha Indal Bangsawan digambarkan sebagai berbadan kurus, berkulit cerah, rambut di paras bahu serta berketinggian 150 sentimeter, dengan mangsa kali terakhir dilihat berpakaian baju t-shirt berwarna hijau serta berseluar track hitam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk menyalurkan terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berhampiran.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS