Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan ke atas Isham: Polis akan panggil Bloomberg
Diterbitkan:  Oct 9, 2024 9:14 PM
Dikemaskini: 1:14 PM

Polis akan memanggil media antarabangsa Bloomberg untuk membantu siasatan berhubung kenyataan bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Isham Jalil.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata ia susulan laporan yang dibuat SPRM terhadap kenyataan Isham yang menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar memfailkan saman terhadap Bloomberg.

"Setakat ini kita telah ambil keterangan dua orang iaitu pihak pengadu (SPRM) serta Isham.

"Beberapa individu juga akan dipanggil khususnya daripada Bloomberg dalam masa terdekat," kata Rusdi seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

Rusdi berkata siasatan dibuat mengikut  Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Isham berkata dia dipanggil memberikan keterangan oleh ibu pejabat polis Putrajaya.

Isham berkata dia akan menjelaskan gesaan yang dibuatnya memandangkan laporan Bloomberg, jika benar, memalukan institusi Perdana Menteri Malaysia dan menghakis keyakinan rakyat dan pelabur tentang agenda Anwar untuk memerangi rasuah.

Pada bulan lalu, Bloomberg menyiarkan laporan yang memetik tiga sumber tidak dinamakan yang mendakwa Anwar mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki agar tidak  menyiasat bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador berhubung pembelian saham HeiTech Padu Bhd.

sumber yang dipetik laporan itu mendakwa ia berhubung pembelian saham dalam sebuah syarikat yang terlibat dalam pembangunan sistem imigresen bernilai RM1 bilion.

Farhash pada Mac lalu dilaporkan memiliki pegangan saham terbesar dalam Heitech Padu Berhad yang disenarai pendek untuk projek berkenaan.

Bagaimanapun HeiTech Padu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada April berkata Farhash tidak lagi menjadi pemegang saham utama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS