Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjelaskan kunjungan silaturahim dua kapal latihan dari China bersama pelajar dari Naval University of China ke Pelabuhan Pulau Pinang pada Sabtu lepas adalah mengikut saluran rasmi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai berkata Pegawai Residen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pulau Pinang turut hadir dalam kunjungan atas kapal pelatih Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) itu bersama pemimpin kerajaan negeri sebagai tetamu.
"Kunjungan pelatih-pelatih dari Naval University of China ke Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) di sini pula adalah atas hubungan pelajar ke pelajar termasuk mengadakan aktiviti bersukan dan kebudayaan.
"Kunjungan itu diuruskan oleh Pejabat Konsulat General China di Pulau Pinang dan dua kapal pelatih berkenaan berlabuh selama tiga hari serta telah beredar menuju ke Chittagong, Bangladesh," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau menjelaskan lawatan silaturahim kapal pelatih bersama pelajar-pelajar Naval University of China itu hendaklah dilihat dari sudut positif berikutan hubungan antara Malaysia dan China adalah baik dan pemimpin utama telah saling mengadakan lawatan antara satu sama lain.
Wong berkata pelatih-pelatih berkenaan dalam perjalanan dari China menuju ke Bangladesh sebelum berlabuh seketika di Pulau Mutiara itu.
Beliau berkata kapal-kapal tentera laut negara asing lain juga pernah berlabuh di pelabuhan di Malaysia atas mengikut saluran rasmi dan protokol.
"Orang ramai diminta tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kunjungan dua kapal latihan dari China bersama pelajar dari Naval University of China ke Pelabuhan Pulau Pinang itu kerana apa yang cuba dikatakan di media sosial adalah tidak benar sama sekali," katanya.
Sabtu lepas, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan kedatangan 1,000 pelatih tentera laut China ke negeri itu menaiki dua kapal iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang untuk kunjungan silaturahim.
Pasukan tugas ke-83 Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) dan pelatihnya dibawa melawat beberapa tempat menarik di Pulau Pinang dan turut berkesempatan berinteraksi dengan penduduk tempatan ketika sesi lawatan berkenaan.
Namun, ia mendapat kiritikan di media sosial susulan kunjungan mereka ke satu majlis di Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) di sini selepas tular di beberapa platform sosial media termasuk TikTok.
- Bernama